Selepas itu (penggazetan persempadan semula kawasan pilihan raya), akan ada tempoh tertentu untuk dikuatkuasakan, kemudian barulah parlimen akan dibubarkan, dan diikuti Dewan Undangan Negeri, katanya

PUTRAJAYA : Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin akan diumumkan selepas usul persempadan kawasan pilihan raya diluluskan sebelum sidang parlimen kali ini berakhir, iaitu 5 April ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya lagi, mengikut aturan mesyuarat parlimen, sidang mesyuarat akan tertumpu kepada perbahasan Titah Diraja, sesi menjawab oleh menteri-menteri berkaitan, serta pembentangan rang undang-undang untuk peruntukan tambahan oleh Kementerian Kewangan, sebelum usul persempadanan semula dibacakan buat kali pertama.

“Bila bacaan kali pertama dilakukan, ada tempoh seminggu untuk ahli parlimen mendapat dokumen baru bagi meneliti persempadanan semula mengikut persempadanan terbaru. Kemudian ia akan diperbahaskan dan diundi, setuju atau tidak.

“Oleh kerana ahli parlimen tinggal 220 saja, dua orang telah pun meninggal dunia, maka Dewan Rakyat perlu majoriti mudah ertinya, untuk menerima rang undang-undang ini, perlu 111 undi sokong daripada 220 ahli parlimen,” katanya ketika berucap di majlis Luncheon Talk bersama Ketua-ketua Pengarang dan Pemilik Permit Penerbitan di Putrajaya hari ini, Astro Awani melaporkan.

Kata Timbalan Perdana Menteri lagi, usul itu tidak perlu dibawa ke Dewan Negara, sebaliknya boleh terus dibawa untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk digazetkan.

“Selepas itu (penggazetan), akan ada tempoh tertentu untuk dikuatkuasakan, kemudian barulah parlimen akan dibubarkan, dan diikuti Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.

Untuk rekod, sidang parlimen kali ini akan berlangsung hingga 5 April, manakala tarikh akhir Parlimen terbubar secara automatik ialah pada 24 Jun.

Comments

comments