Parti keramat orang Melayu terjerumus ke dalam teori kitaran tamadun yang pernah dihujahkan oleh cendekiawan Islam pada abad ke-14

LEBIH sebulan penulis tidak menulis makalah di Berita Daily lantaran terlalu sibuk dengan kerja-kerja Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ya, PRU14 yang cukup bersejarah dan penulis amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah yang cukup bermakna buat negara tercinta ini.

Keputusan PRU14 menyaksikan pertama kalinya berlaku pertukaran kuasa daripada Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Malaysia selama enam dekad.

Sejarah lainnya pula, Pakatan Harapan dinobatkan selaku pentadbir Persekutuan baharu dengan diketuai Dr Mahathir Mohamad, seorang tua berumur 92 tahun.

Perkara berkenaan menjadi anak kelahiran Kedah itu pemimpin paling tua di dunia, selain politikus pertama menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

Seakan tidak percaya, tetapi itulah yang berlaku, apalagi ketika pengumuman kemenangan dibuat, penulis berada di Hotel Sheraton Petaling Jaya bersama pimpinan Pakatan Harapan.

Namun, yang menjadi kemusykilan penulis ialah nasib BN dan parti terasnya, iaitu Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno.

Umno parti yang cukup banyak jasa kepada negara. Bersama Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Parti Kongres India Malaysia (MIC), serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak, Umno berjaya membangunkan negara ke satu tahap yang cukup dibanggakan.

Malangnya, seperti yang pernah diramalkan cendekiawan Islam terkemuka, Umno terjerumus ke dalam teori kitaran tamadun.

Umno pada 1946 berada pada fasa awal dan kelahirannya dan kemudian memasuki fasa pemantapan pada zaman kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia.

Fasa seterusnya ialah tahap kemuncak dan kemegahan ketika pentadbiran Dr Mahathir dan perlahan-lahan memasuki fasa kehancuran dan kemusnahan selepas peletakkan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.

Ini hanyalah pandangan penulis, namun dirasakan teori Ibnu Khaldun itu seakan benar melihat kepada keadaan Umno selepas kalah mengejut pada malam 9 Mei 2018.

Rata-rata pemimpin dan ahli Umno putus asa dan hilang arah tuju. Masing-masing bersedih dan keadaan diburukkan lagi dengan krisis pimpinan Umno Perlis dengan Raja Perlis sendiri.

Itu belum masuk lagi dengan insiden lompat parti dan pemberhentian peruntukkan kepada Umno di bahagian dan cawangan. Yang paling menyedihkan, rakyat, khususnya Melayu sendiri menolak Umno.

Sistem Umno sudah ketinggalan zaman dan keadaan diburukkan lagi dengan sikap pimpinan tertinggi Umno yang gagal menjawab persoalan-persoalan integriti yang membelenggu diri dan keluarganya.

Susah untuk Umno bangun dan bangkit semula sekiranya ahli-ahlinya tidak melakukan tindakan drastik bagi memulihkan parti.

Umno juga tiada pimpinan pelapis yang berkaliber selepas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan yang giat merekrut pemimpin muda.

Ini waktu sukar untuk Umno dan BN. Kedengaran juga parti komponen Sarawak juga mahu meninggalkan Umno dan menubuhkan gabungannya sendiri di Bumi Kenyalang.

Kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim baru-baru ini memang benar. Rakyat memang marahkan Umno ketika ini dan hampir semua kebobrokan dalam negara diletakkan ke atas pundak Umno.

Hidupkah Umno selepas cukup teruk dipersalahkan rakyat, terutama Melayu? Hanya Yang Maha Esa sahaja yang mengetahuinya.

Hakikatnya, Umno gagal belajar daripada ilmu tinggalan Ibnu Khaldun. Itulah punca kekalahan parti keramat orang Melayu ini.

Comments

comments