Bulan Ramadan juga tidak dipisahkan dari urusan politik yang merupakan sebahagian daripada syari’ah Islam

BULAN Ramadan sinonim dengan ibadah sama ada ibadah puasa yang menjadi asas utama, mahupun ibadah-ibadah lain yang digalakkan untuk dilaksanakan pada bulan ini kerana pahalanya dilipat kali gandakan.

Bulan Ramadan juga tidak dipisahkan dari urusan politik yang merupakan sebahagian daripada syari’ah Islam.

Ini dapat dilihat daripada tindakan-tindakan politik yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara Islam yang berpusat di Madinah.

Baginda SAW telah memainkan peranan ahli politik ketika aman dan perang. Baginda SAW mengizinkan kepada tentera Islam untuk berperang dengan musyrikin Mekah dalam peperangan Badar. Selepas tamatnya perang, baginda SAW membuka pintu perundingan dengan pembesar-pembesar Quraisy terhadap tawanan-tawanan perang Badar.

Justeru, menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam walaupun sibuk memberikan penumpuan kepada ibadah-ibadah di bulan yang mulia ini, dalam masa yang sama perlu memberikan perhatian terhadap isu-isu politik yang berlaku sama ada dalam negara mahupun luar negara.

Negara baru sahaja melangsungkan PRU14 pada 9 Mei yang lalu. Maka di bulan yang mulia ini elok juga dibuat muhasabah politik ke manakah halatuju negara akan dibawa oleh pentadbiran baru yang telah dipilih oleh rakyat. Adakah perubahan yang berlaku ini menguntungkan Islam dan umat Islam atau sebaliknya?

– Muhammad Khalil Abdul Hadi merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Adun Batu Burok

Comments

comments