Dakwaan terdapat lebihan 20,000 kertas undi dikeluarkan SPR adalah akibat kesalahan menaip pada jumlah kertas undi yang dikeluarkan dalam Warta Keputusan PRU14 yang diwartakan pada 28 Mei lepas

PUTRAJAYA: Tiada isu lebihan pengundian berlaku di kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti dilaporkan akhbar, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR dalam kenyataan hari ini menjelaskan dakwaan terdapat lebihan 20,000 kertas undi dikeluarkan adalah akibat kesalahan menaip pada jumlah kertas undi yang dikeluarkan dalam Warta Keputusan PRU14 yang diwartakan pada 28 Mei lepas.

“Jumlah sebenar kertas undi yang dikeluarkan bagi bahagian pilihan raya (Kubang Kerian) berkenaan pada PRU14 adalah 64,867 bukannya 84,867 sepertimana yang tercatat.

“Sehubungan itu, SPR menyatakan rasa kesal dan memohon maaf di atas kesilapan jumlah itu dan telah mengambil langkah serta-merta membuat pembetulan pada warta tersebut,” katanya.

Menurut SPR, kesilapan itu tidak mengubah jumlah undi yang diperoleh oleh setiap calon yang bertanding sepertimana yang disiarkan di dalam warta sebelumnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan kewujudan lebihan 20,000 undi dalam Parlimen Kubang Kerian pada PRU lepas, sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan wujud kehadiran pengundi hantu.

Laporan itu menyebut kewujudan undi berkenaan disahkan menerusi warta SPR pada 28 Mei lepas yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Kerusi Kubang Kerian dimenangi oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas memperoleh 35,620 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Muhammad Abdul Ghani dan calon PKR Dr Abdul Halim Yusof yang masing-masing mendapat 16,251 dan 11,557 undi.

Comments

comments