Parti MMSP menggesa parti komponen BN supaya tidak tamak dalam isu pemilihan calon menjelang PRU14

KUALA LUMPUR: Parti Makkal Sakthi (MMSP) hari ini menggesa parti-parti komponen BN supaya memberi mandat penuh kepada Najib Razak selaku Pengerusi BN, untuk memilih dan meletakkan calon yang diyakini boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Kata RS Thanenthiran, Presiden MMSP, parti komponen BN tidak boleh tamak dalam isu meletakkan calon pilihan parti masing-masing. Tak kira Umno, MCA, MIC dan Gerakan perlu memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada calon pilihan Perdana Menteri Najib Razak.

“Siapa yang rugi meletakkan calon yang lemah hanya kerana ingin mempertahankan kerusi yang diperuntukkan kepada parti masing-masing? Akhirnya yang rugi BN,” katanya.

“Yang bakal tanding di PRU bukan Umno, MCA, MIC atau Gerakan, yang tanding itu BN,” tegas beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat MMSP, Sentral Vista, Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurutnya, PRU14 merupakan ibu kepada segala pilihanraya. Maka, sebagai parti komponen perlu memberi kebebasan dan kepercayaan penuh kepada Najib.

“Kita tidak boleh memberi tekanan kepada pucuk pimpinan BN. Ia tidak sihat untuk BN menjelang PRU nanti,” jelas Thanenthiran lagi.

Beliau turut menekan bahawa parti komponen tidak lagi membangkit isu kerusi tradisional.

“Isu kerusi tradisional tidak boleh bangkit lagi. Yang adanya kerusi BN,” ujar beliau sambil menambah PRU ini bukan lagi medan bagi segelintir orang untuk ‘cuba nasib’ di politik.

“Setiap kerusi dan setiap undi adalah sangat penting. Jangan kita merosakkan kekuatan BN hanya kerana mempertahankan nafsu bertanding dan sebagainya,” tegasnya.

Dalam pada itu, MMSP selaku parti rakan BN memberitahu hasratnya bertanding di lima kerusi parlimen sekiranya dipersetujui oleh pucuk pimpinan BN.

Thanenthiran turut menyenaraikan kerusi Parlimen Padang Serai, Batu Kawan, Sungai Siput, Port Dickson (dahulu dikenali sebagai Teluk Kemang) dan Hulu Selangor sebagai kerusi-kerusi berpotensi untuk partinya bertanding dan menang pada PRU akan datang.

“Kesemua kerusi yang diminta oleh MMSP merupakan kawasan yang BN kalah dua penggal berturut-turut. Tidak rugi sekiranya MMSP diberi peluang pada kali ini,” kata sambil menyambung bahawa partinya mampu memberi yang terbaik sekiranya diberi peluang.

Thanenthiran turut menyatakan dengan jumlah anggota MMSP yang kini mencecah 165,000 orang, partinya mampu mengendalikan jentera pilihan raya lebih kemas berbanding beberapa parti lain.

“Kami sudahpun banyak berpengalaman pada PRU terakhir. Maka, mampu mengerakkan jentera piliharaya dengan sempurna, apatah lagi diberi peluang bertanding,” katanya.

Dalam satu perkembangan terbaru, Thanenthiran meminta parti-parti komponen BN supaya lebih bekerja rapat parti-parti rakan BN.

“Saya kecewa dengan sikap parti komponen BN, khususnya MIC yang enggan berjumpa atau mempelawa kami ke program-program mereka. Kalau Umno dengan MCA mampu berjumpa dengan kami apa masalah dengan MIC? soal Thanenthiran.

Sokong Akta Antiberita Tidak Benar 2018

Terdahulu, Thanenthiran meminta semua parti politik khususnya parti gabungan Pakatan Harapan supaya menyokong penuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018, yang diluluskan minggu lalu.

Menurutnya, akta bakal akan lebih menguntungkan pembangkang berbanding kerajaan.

“Sebagai contoh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selalu ‘nangis’ kononnya beliau sering difitnah, dituduh dan macam-macam. Jadi kini sudah ada akta. Jadi sokonglah, gesa Thanenthiran lagi.

Comments

comments