Tindakan Umno mempolitikkan keputusan untuk membatalkan sembilan projek rumah mampu milik Rumah Selangorku merupakan satu usaha untuk menutup kelemahan mereka

KUALA LUMPUR: Bukan Kerajaan Negeri Selangor hari ini yang gagal tetapi Kerajaan Negeri BN sebelum 2008 yang gagal.

Demikian kata, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar A Samad yang mendakwa pemimpin Umno tidak memahami proses pembangunan sebuah projek perumahan.

“Tindakan Umno mempolitikkan keputusan untuk membatalkan sembilan projek rumah mampu milik Rumah Selangorku merupakan satu usaha untuk menutup kelemahan mereka.

“Pembatalan sembilan projek itu menunjukkan jawatankuasa yang bertanggungjawab telah melaksanakan tugas mereka,” tegas Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS ), pembinaan rumah kos rendah di 56 projek yang diluluskan di zaman BN tidak terus dibina tetapi ditangguhkan dan akhirnya terdapat yang tidak dibina langsung. 56 projek ini melibatkan 19,351 unit kediaman.

Keadaan lebih merumitkan apabila terdapat pemaju yang menjual tanah atau projek mereka kepada pemaju lain. Pemaju baru ini kemudian memohon pembinaan Rumah Kos Rendah dikecualikan di atas alasan mereka tidak mengetahui terdapat syarat membinanya.

“Sekiranya pemaju-pemaju diberi amaran seperti hari ini, mereka tidak akan sewenang-wenangnya menangguhkan pembinaan rumah kos rendah sehingga bertahun-tahun lamanya,” jelasnya.

“Oleh itu bukan kerajaan negeri hari ini yang gagal tetapi kerajaan negeri BN sebelum 2008 yang gagal. Mereka dilihat takut untuk mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju. Tetapi kerajaan negeri selepas 2008 bersedia mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju yang dilihat tidak serius untuk membina Rumah Selangorku,” ujarnya.

Iskandar turut mengesahkan bahawa bilangan projek yang dibatalkan adalah kecil berbanding dengan bilangan projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang atau sedang dalam pembinaan.

“Bilangan projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang adalah 179 projek (100,533 unit) dan bilangan yang sedang dalam pembinaan adalah 29 projek (20,627 unit). Manakala sebanyak 17 projek (3,620 unit) telah siap dan diduduki.”

Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan dengan pembatalan projek-projek tersebut maka pembeli-pembeli akan teraniya.

“Mereka yang membuat dakwaan ini tidak memahami proses pembangunan projek perumahan di negara kita”.

“Projek-projek yang dibatalkan kelulusan tidak ada Kebenaran Merancang. Sekiranya sesuatu projek itu tidak ada Kebenaran Merancang maka ia tidak memiliki Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) dan sudah tentu tidak ada pembeli,” jelas beliau.

“Oleh yang demikian mereka yang membuat dakwaan tersebut hanya sekadar membuta tuli membuat tuduhan,” kata Iskandar sambil menambah Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju-pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku dan memberi peringatan dan notis apabila terdapat projek yang lewat.

“Hanya apabila tidak ada tindakan dari pemaju, kelulusan akan dibatalkan. Dengan pembatalan tersebut, pemaju tidak boleh memulakan pembinaan rumah harga bebas pada projek yang sama. Di bawah kerajaan negeri hari ini, Rumah Selangorku wajib dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

“Oleh yang demikian, pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku mereka perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku mereka sebelum boleh membina rumah harga bebas,” kata.

“Ini berbeza dari zaman BN di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu. Akibatnya terdapat rumah-rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini,” sambungnya lagi.

Comments

comments