Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata sekitar  700 hingga 800 orang pekerja dari negara itu hanya berdemonstrasi secara aman meminta supaya syarikat tersebut menghentikan potongan levi

SIBU: Polis menafikan berlakunya rusuhan oleh pekerja Indonesia di sebuah kilang papan lapis milik sebuah syarikat tempatan di Sungai Bidut pada pagi ini.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata sekitar  700 hingga 800 orang pekerja dari negara itu hanya berdemonstrasi secara aman meminta supaya syarikat tersebut menghentikan potongan levi sebanyak RM101 setiap bulan yang dikenakan ke atas mereka.

Kejadian itu turut berlaku kerana ketidakpuasan hati pekerja mengenai waktu kerja yang dikurangkan oleh syarikat serta gaji yang diterima adalah kurang.

“Keadaan terkawal. Tiada kekacauan. Pasukan kita dari pelbagai bahagian telah ke sana dan syarikat telah bersetuju untuk berbincang dengan para pekerja,” katanya.

Beliau yang dihubungi Bernama di sini hari ini berkata, keadaan telah kembali seperti biasa dan para pekerja yang terbabit telah bersurai untuk menyambung kerja mereka.

Stanley diminta mengulas mengenai gambar-gambar apa yang dikatakan sebagai rusuhan yang dimuat naik ke sebuah laman Facebook pada  11.22 pagi  ini.

Turut dimuat naik ialah video kebakaran di kawasan lapang di hadapan sebuah bangunan dipercayai asrama pekerja dalam kejadian kira-kira pada 7 pagi itu, namun Stanley menyatakan ia hanya aktiviti pembakaran sampah.

Disember tahun lalu Kementerian  Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, semua majikan mesti menanggung pembayaran levi pekerja asing baharu dan pekerja asing yang telah memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bermula awal Januari lalu.

Ketetapan dasar itu terpakai kepada majikan yang telah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum ia dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun ini dan tamat tempoh pada 2018.

Tindakan tegas akan dikenakan ke atas majikan yang gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang ditetapkan berhubung pembayaran levi pekerja asing.

Comments

comments