Apa yang terjadi dengan pinjaman RM450 juta daripada sebuah bank tempatan?

KUALA LUMPUR: Sekumpulan kontraktor pemasangan (installation contractors) hari ini tampil ke hadapan menggesa pihak polis untuk menyiasat sebuah stesen televisyen kabel digital berkenaan misteri kehilangan RM450 juta pinjaman bank.

Menurut Jagjeet Gill salah seorang kontraktor pemasangan mewakili kontraktor-kontraktor yang lain berkata ABN (Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd) berhutang lebih RM120 juta kepada kontraktor pemasangan.

“Ada kontraktor yang dapat bayaran sedikit. Tetapi, secara amnya banyak tidak mendapat sebarang bayaran. Jadi, apa yang terjadi dengan pinjaman RM450 juta daripada sebuah bank tempatan?” soal beliau.

“Pinjaman ini dibuat kepada ABN secara berperingkat. Iaitu, bank tersebut membuat pinjaman selepas ABN menerima invois dari kami dan kontraktor yang lain. Jadi, pinjaman tersebut sepatutnya dibayar kepada kami. Namun, sehingga hari ini tiada sebarang pembayaran,” katanya kepada pemberita di sini di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi.

Tambahnya, beliau sedar kemungkinan besar ABN tidak mampu membuat bayarannya selepas syarikat tersebut diisytihar muflis.

“Tetapi, kami nak pihak polis bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat misteri kehilangan pinjaman RM450 juta. Bukan sahaja kontraktor, malah staff ABN, pembekal servis yang lain turut tidak dibayar.”

Dalam pada itu, Jagjeet juga tidak menolak kemungkinan dana RM450 juta disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan dalam syarikat tersebut.

“Bekas pengarah syarikat ABN dan isteri kepada seorang pemimpin tinggi negara antaranya sering dikatakan menyalahgunakan dananya. Jadi, kami nak polis siasat secara menyeluruh skandal ini,” kata beliau lagi.

Comments

comments