Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia telah meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu tumbuh pada kadar 6.6% setahun pada nilai nominal

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan menegas bahawa Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sekali lagi membuktikan rekod Barisan Nasional (BN) tidak boleh disangkal.

Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia telah meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu tumbuh pada kadar 6.6% setahun pada nilai nominal.

“Laporan ini merumuskan pencapaian yang dikecapi oleh kerajaan BN dari segi pengurusan ekonomi. Ia juga membuktikan persepsi bahawa pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat adalah tidak benar.”

“Rekod pencapaian BN tidak boleh disangkal; Pendapatan isi rumah yang meningkat, penurunan insiden kemiskinan dan pengurangan jurang pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jurang pendapatan di antara isi rumah di Malaysia berkurang secara progresif dengan pendapatan penengah isi rumah B40 meningkat daripada RM2,629 (2014) kepada RM3,000 (2016) dengan kadar pertumbuhan 6.6% setahun lebih pantas daripada isi rumah T20 dengan kadar pertumbuhan 6.2%.

“Isi rumah M40 mencatatkan pertumbuhan pendapatan terpantas iaitu 6.9% setahun,” jelas Rahman Dahlan lagi.

Dalam pada itu, Rahman Dahlan turut menekan bahawa insiden kemiskinan di semua negeri telah menurun dengan penurunan yang paling ketara dicatatkan di Sabah daripada 4.0% pada 2014 kepada 2.9% pada 2016.

“Ini membuktikan bahawa komitmen dan usaha serta hubungan rapat kedua-dua buah kerajaan negeri di bawah kepimpinan Musa Aman dan kerajaan persekutuan telah mendatangkan manfaat dan hasil yang positif kepada rakyat Sabah.”

“Sesetengah pihak akan cepat membangkitkan isu kadar kemiskinan Sabah yang merupakan kadar tertinggi di Malaysia dan cepat juga menuding jari kepada kerajaan di atas hal ini,” kata beliau sambil menambah bahawa jika mengkaji dengan lebih mendalam tentang struktur ekonomi Sabah, mereka akan faham kenapa ianya mempunyai kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri lain.

Menurutnya, sektor pertanian mewakili 27% daripada ekonomi Sabah iaitu tertinggi di dalam Malaysia.

Manakala, sektor pembuatan hanya menyumbang kepada 8.3% daripada ekonomi Sabah lebih rendah berbanding banyak negeri lain.

Selain itu tambah Rahman Dahlan lagi, sektor perlombongan, terutamanya minyak dan gas, tidaklah sebesar yang disangka kebanyakan orang.

“Saiz sektor perlombongan di Sabah hanyalah 62% saiz sektor yang sama di Sarawak.”

“Ini antaranya disebabkan Sabah hampir diabaikan dari segi pembangunan infrastruktur oleh seorang Perdana Menteri yang berkuasa lebih dua dekad.”

“Hanya beberapa tahun kebelakangan ini di bawah Perdana Menteri sekarang Sabah mendapat perhatian dari segi pembangunan infrastruktur kerana beliau melihat kepentingan membangunkan Sabah,” tegas beliau.

Comments

comments