Muslim dan non muslim adalah berbeza. Tetapi persamaan kekal persamaan. Keadilan adalah keadilan

MEREKA bertanya, mana baik antara muslim yang korup dengan non-muslim yang baik?

Saya jawab, buang muslim yang korup dan pilihlah muslim yang baik. Pilihlah juga non muslim yang baik dan letakkan mereka semua pada tempatnya yang adil.

Antara keburukan ialah paksaan untuk memilih di antara muslim yang korup dengan non muslim yang baik. Begitulah sebaliknya. Pilihan hanyalah di antara yang baik. Jika terpaksa di antara dua yang mudarat dan buruk, pilihlah yang lebih ringan di antara keduanya.

Di dunia ini, siapa pun, tiada tempat untuk mereka yang korup dan jahat kecuali turun ke bawah atau diturunkan.

Ya, muslim dan non muslim adalah berbeza. Tetapi persamaan kekal persamaan. Keadilan adalah keadilan. Allah tidak membezakan di antara manusia di dunia ini. Kebaikan duniawi adalah milik bersama. Kebaikan di akhirat hanyalah milik muslim yang beriman.

Mengapa? Kerana di sana nanti, kita tiada lagi diberi hak usaha dan pilihan oleh-Nya sebagaimana di dunia. Di sana adalah milik-Nya sepenuhnya. Di sana, Dia-lah yang memilih, bukan lagi kita. Dia hanya akan memilih untuk syurga-Nya orang-orang yang beriman kepada-Nya di dunia ini.

Justeru selamatkanlah akhirat anda dengan menjaga hak agama Allah di dunia ini. Jagalah Allah dengan menjaga agama-Nya. Jika tidak anda, Allah pasti memilih orang lain untuk menjaga agama-Nya. Jika begitu, bahagian anda di akhirat nanti adalah kemalangan dan kesesiaan.

– Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan Ahli Parlimen Bachok

 
– Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Berita Daily 

Comments

comments