Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan negeri-negeri berkaitan termasuk Terengganu akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.

“Ia dipersetujui secara prinsip. Quantum akan dibincang selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

“Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Teregganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri  Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Ia merupakan mesyuarat pertama Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Dr Mahathir setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-4 pada 9 Mei lepas.

Terengganu tidak menerima royalti minyak sejak 2000 sebaliknya menerima wang ehsan.

Sabah dan Sarawak pula menerima lima peratus royalti minyak manakala Kelantan menerima wang ehsan minyak sejak 2010.

Ahmad Samsuri berkata wang ehsan itu disalurkan kepada agensi pusat di negeri-negeri seperti Jabatan Pembangunan Pesekutuan sebelum ini.

“(Royalti minyak) akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri tidak kira dari parti mana, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berhubung peruntukan untuk anggota Parlimen yang diumumkan Dr Mahathir semalam, Ahmad Samsuri berkata Terengganu menghargai pemberian yang diberikan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri secara adil dengan mengambil kira kemampuan kewangan setiap negeri.

Menurutnya polisi kerajaan persekutuan itu dinyatakan sendiri Perdana Menteri kepada wakil kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

“Perdana Menteri mengatakan bahawa kerajaan persekutuan mestilah adil.

“Sesetengah negeri yang kaya boleh menampung (perbelanjaan) berbanding negeri-negeri yang miskin yang sepatutnya mendapat lebih lagi peruntukan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Wan Azizah berkata kerajaan persekutuan juga mengamalkan polisi adil kepada kerajaan negeri yang diterajui pembangkang.

“Walaupun tidak bersama dengan kerajaan persekutuan, (peruntukan) akan disalurkan, tetapi mestilah (akhirnya sampai) kepada rakyat tanpa mengira parti,” katanya.

Comments

comments