Cadangan menteri untuk universiti mengadakan program ilmiah selaras dengan ciri-ciri yang dinyatakan di dalam Gagasan Kampus Harmoni iaitu warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf

KUALA LUMPUR: Persatuan Belia Harmoni Malaysia menyokong sepenuhnya seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar tiada sebarang halangan untuk universiti menganjurkan debat dan wacana intelek.

Dalam satu kenyataan hari ini, NGO tersebut berkata cadangan menteri untuk universiti mengadakan program ilmiah selaras dengan ciri-ciri yang dinyatakan di dalam Gagasan Kampus Harmoni iaitu warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf.

“Seruan Menteri juga mampu menyubur budaya ilmu dan intelektualisme.”

“Berikutan perkara ini, Harmoni berharap agar mahasiswa lebih giat menganjurkan program-program ilmiah seperti wacana, diskusi, debat, dan forum agar suasana keilmuan dapat dipupuk selari dengan peranan sebuah universiti,” katanya.

Terdahulu, Maszlee berkata  semua Universiti Awam (UA) kini bebas menganjurkan program ilmiah seperti debat, forum dan wacana intelek sepertimana amalan di universiti terkemuka dunia yang lain.

Beliau berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta dan semua pentadbir UA diminta menyahut seruan tersebut atas semangat menjadikan universiti sebagai medan percambahan ilmu.

“Saya minta Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar mematuhi arahan ini dan memastikan tiada lagi sebarang halangan kepada program seumpama itu selepas ini.

“Perkara ini perlu diselaraskan oleh semua universiti, di mana pemantauan terhadap pematuhannya akan dibuat kementerian,” katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, Harmoni meyakini bahawa segala isu yang berkait perihal mahasiswa dan negara harus didepani dengan dialog dan diskusi agar sikap matang dan bertoleransi dapat dipupuk dalam kalangan warga universiti.

“Akhir kata, tahniah dan terima kasih kepada YB Dr Maszlee atas seruan ini. Semoga dengan kebebasan ini menjadi pencetus kepada revolusi intelektualisme dan lahirnya generasi mahasiswa yang lebih kompeten dan berdaya saing di era Malaysia baharu,” jelasnya.

Comments

comments