Apa strategi Najib, Umno dan BN untuk mengatasi gabungan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah?

SANA-SINI orang bercakap mengenai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada gabungan parti politik yang dinamakan Pakatan Harapan.

Ketaranya, Barisan Nasional (BN) bertindak menghentam calon Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang pernah menerajui pentadbiran Persekutuan Malaysia selama 22 tahun.

Semuanya dikatakan buruk dan segala ketidaksempurnaan beliau diungkit untuk dijadikan alasan supaya pengundi menolak Dr Mahathir.

Rasanya, tuduhan berkenaan terus diulang dan acap kali dilemparkan menerusi siaran media arus perdana dan laskar media sosial yang dikuasai Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Meneliti akan perkembangan mutakhir ini, penulis boleh menyimpulkan bahawa pimpinan BN nampak panik lantaran serangan bertubi-tubi dilancarkan.

Masakan tidak, umum mengetahui di sebalik ketidaksempurnaan Dr Mahathir itu, kepemimpinan beliau terbukti sebagai Perdana Menteri.

Malaysia tidak akan berada pada tahap sekarang kalau bukan kerana Dr Mahathir dan ia adalah fakta yang sukar dinafikan oleh sesiapa pun hatta Perdana Menteri keenam, Najib Razak.

Percanggahan pendapat antara bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri bukanlah cerita baru di Malaysia, namun kali ini gelombangnya luar biasa.

Percanggahan pendapat ini mengubah persepsi ramai pada tahap yang sukar dijangka oleh UMNO dan BN sendiri. Memang wajib untuk BN dan UMNO takut, gusar dan panik.

Sebaik-baiknya Umno dan BN harus mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak cepat melatah seperti yang ditunjukkan oleh barisan pimpinan UMNO.

Sehingga hari ini, hanya Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar negeri itu bersikap matang dalam memberi reaksi terhadap tindak tanduk Dr Mahathir.

Mohamad Hassan juga tenang mengucapkan selamat kembali kepada Dr Mahathir yang sudah bersara politik sejak 2002. Penulis fikir itulah yang sebaik-baiknya kerana wajib untuk kita hormat orang tua macam Dr Mahathir.

Gabungan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail dibuat atas strategi politik yang menarik. Gandingan mereka berdua akan menarik undi segmen pemilih tertentu.

Paling penting ialah segmen wanita yang selama ini amat kuat mendukung legasi BN. BN sebenarnya masih merangkak mengangkat wanita yang selama ini menyokong mereka.

Namun, Pakatan Harapan sudah pun meletakkan calon wanita sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran Persekutuan. Ini sejarah baru negara yang wajar diraikan.

Selain segmen wanita, gabungan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah mampu menarik sokongan penduduk luar bandar, Felda, ahli Umno yang tidak bersetuju dengan Najib, korporat, Melayu kelas pertengahan dan bandar serta golongan aktivis.

Apa strategi Najib, Umno dan BN untuk mengatasi gabungan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah? Ada yang cakap sebaik-baiknya Najib melepaskan jawatan.

Soalnya mahukah Najib berbuat demikian kerana beliau punya misi mulia demi membangunkan negara menuju Transformasi Nasional 50?

Comments

comments