Setelah memberi janji manis dengan pihak kuil, individu-individu ini membuat tuntutan melampau dengan pihak pemaju

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hindu Malaysia (MHS) RS Mohan Shan hari ini menggesa pihak pentadbiran kuil seluruh negara supaya berhati-hati dengan segelintir orang yang mempergunakan tempat ibadat untuk motif peribadi.

Beliau berkata, pihak kuil mudah tertipu dengan janji-janji individu ini sehingga ada pihak kuil enggan berjumpa dengan MHS, walaupun masih menghadapi masalah tapak, perpindahan dan sebagainya.

Mengulas lanjut berkenaan pemindahan Kuil Sri Bathrakaliamman, Setapak, Mohan Shan berkata punca keengganan pengasas kuil tersebut adalah kerana terperangkap dengan janji manis individu-individu ini.

“Saya diberitahu bahawa terdapat beberapa individu kini menjadi anggota dalam Jawatankuasa kuil tersebut berjanji akan mendapat pampasan sebanyak RM60,000 dan juga projek perkhidmatan keselamatan (security guard service) daripada syarikat pemaju di kawasan tersebut.

“Inilah modus operandi individu-individu tersebut sedangkan pihak pentadbiran kuil telahpun membuat perjanjian untuk berpindah ke tapak baru selepas pihak pemaju sedia menunaikan beberapa tuntutan yang dikemukan oleh pihak pentadbiran kuil tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan satu perjumpaan dengan penduduk tempatan sekitar kuil tersebut di ibupejabat MHS, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, wakil syarikat pemaju (Skyworld Bhd), N Muniandy, ahli Jawatankuasa Pusat MIC (CWC) dan wakil NGO.

Difahami, kedua-dua individu ini mensasarkan kuil-kuil yang menghadapi masalah tapak dan perobohan dengan mentampil diri untuk membantu. Setelah memberi janji manis dengan pihak kuil, individu-individu ini membuat tuntutan melampau dengan pihak pemaju.

“Kita menerima beberapa kes sepertinya,” kata Mohan Shan sambil menambah pihak kuil sepatutnya perlu melantik MHS sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah-masalah sebegini.

Ketika bertanya berkenaan perobohan sebuah kuil Hindu di Masai, Johor semalam, Mohan Shan mengakui salah satu faktor penting adalah permintaan melampau oleh pihak kuil.

“Kami (MHS) sedar isu kuil Sri Siva Sakthi Sri Karuppan Alayam sejak 10 tahun yang lalu. Walaupun, saya tidak setuju dengan cara kuil tersebut dirobohkan, salah satu punca utama tersebut adalah keengganan pihak kuil menyelesaikan masalah ini.

“Mereka telah diberi tapak baru oleh Kerajaan Negeri. Tetapi, masih enggan berpindah. Pihak kuil yang membawa isu ini ke mahkamah. Segala nasihat kami ditolak begitu sahaja,” jelasnya.

“Saya sedih dengan perobohan kuil tersebut. Pada masa yang sama, kita juga kadangkala bertolak ansur dengan isu-isu kuil,” kata beliau sambil sambung bahawa kerajaan negeri masih sedia memberi tapak kepada kuil tersebut.

Pampasan RM20,000

Terdahulu, penduduk penganut Hindu di Setapak menubuhkan satu jawatankuasa sementera dalam usaha menyelamatkan Kuil Sri Bathrakaliamman.

Menurut seorang penduduk bernama Murali berkata bahawa pihak pentadbiran kuil yand ada sekarang tidak lagi boleh dipercayai.

“Kami penganut di sini sedia ke tapak baru yang lebih selesa. Tetapi, dihalang oleh pihak kuil dimana kesemua anggota jawatankuasa sekarang merupakan orang luar.”

“Mereka juga cuba membuat ‘perniagaan’ dengan membuat pelbagai tuntutan kepada syarikat pemaju,” dakwa beliau lagi.

Dalam pada itu, satu persetujuan dimeterai diantara pihak jawantankuasa baru dan syarikat pemaju dihadapan MHS, dengan syarat kesemua tuntutan perlu dipenuhi.

Untuk rekod, kuil tersebut yang kini menetap dihadapan pangsapuri PPR Seri Semarak diarah berpindah ke tapak baru selepas pihak pemaju membeli tapak asalnya.

Selepas mengadakan beberapa siri mesyuarat pihak kuil bersetuju berpindah ke tapak baru dengan syarat pihak pemaju perlu membina struktur bangunan.

Selain membina tandas, tempat memasak dan papan tanda, pihak pemaju turut bersetuju memberi pampasan sebanyak RM20,000.

Selain membantu pihak kuil mendapat bekalan air dan elektrik dan Skyworld turut bersetuju menyediakan khidmat pengangkutan bagi tujuan pemindahan.

Comments

comments