Op Rendang adalah untuk meningkatkan pencegahan pencerobohan hutan di samping memfokuskan aktiviti dalam transit dan penebangan pokok tanpa kebenaran

IPOH: Lima kawasan panas akan menjadi tumpuan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) sepanjang operasi dan penguatkuasaan hutan sempena perayaan Aidilfitri yang dikenali sebagai Op Rendang.

Pengarah JPNPk Mohamed Zin Yusop berkata kawasan yang terlibat dalam operasi selama dua minggu mulai hari ini hingga 23 Jun itu adalah Tanjung Malim, Kuala Kangsar, Manjung, Taiping dan Gerik.

Katanya objektif utama Op Rendang adalah untuk meningkatkan pencegahan pencerobohan hutan di samping memfokuskan aktiviti dalam transit dan penebangan pokok tanpa kebenaran terutama yang melibatkan balak pendek ketika musim perayaan.

“Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah sekatan jalan raya yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain pemantauan di kawasan panas Hutan Simpan Kekal.

“Kita juga akan membuat pemantauan di kilang-kilang yang telah dikenal pasti kerana pembalakan haram ini kebiasaannya adalah sindiket, apabila ada permintaan akan berlaku kegiatan itu,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran dan pelepasan Op Rendang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Zin berkata seramai 30 pegawai dan anggota jabatan berkenaan telah ditugaskan menjaga dan memantau kawasan panas yang dikenal pasti.

Ditanya mengenai tahap pencerobohan haram di negeri ini, Mohamed Zin berkata ia masih di tahap yang terkawal.

“Di Perak kita ada 991,000 hektar Hutan Simpan Kekal, tanpa bantuan agensi seperti PDRM sukar untuk kita pantau dan bendung kegiatan haram itu, bagaimanapun bagi saya ia masih dalam keadaan terkawal.

“Ini kerana untuk tahun ini kita berjaya membuat beberapa penahanan dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan haram itu,” katanya.

Comments

comments