Lese majeste bukan bertujuan menghalalkan kesalahan peribadi Raja, tetapi lebih kepada melindungi Malaysia
POLEMIK menentukan siapa Peguam Negara baharu sesudah Pilihan Raya Umum ke-14 sudah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.
Bermula daripada tafsiran Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan, ianya merebak kepada Perkara 40 dan Perkara 183 dalam undang-undang tertinggi negara ini.
Perihal ini bermula apabila sebuah portal berita melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan beberapa orang Raja-raja mahu orang Melayu dilantik sebagai Peguam Negara baharu.
Akibat laporan itu, timbul reaksi yang kurang menyenangkan daripada netizen yang penulis kira berbaur perkauman, menghina dan memperlekehkan institusi Raja di Malaysia.
Lebih memburukkan keadaan, sekutu kuat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad iaitu Abdul Kadir Jasin memuat naik status blog menuduh Yang di-Pertuan Agong berbelanja mewah sehingga ratusan juta ringgit.
Hakikatnya, serangan-serangan yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong mendatangkan perasaan kurang senang, khususnya orang Melayu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah dalam satu majlis berbuka puasa di sebuah masjid di negeri baginda, turut bertitah menyuarakan rasa dukacitanya atas sikap segelintir rakyat yang memperlekehkan Raja-raja.
Pada hemat penulis, portal berita itu tidak sepatutnya menulis laporan sedemikian sehingga mencetuskan polemik sebegini. Benar, tiada klausa yang menyebut Peguam Negara itu mesti orang Melayu.
Tiada juga klausa yang mengatakan Peguam Negara itu hendaklah seorang Muslim bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sebagainya.
Namun, perjawatan Peguam Negara adalah satu perjawatan yang sangat penting dan memerlukan ketelitian dalam pemilihannya. Penulis fikir Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk berunding dan menyuarakan pendapat baginda terhadap kerajaan.
Ia adalah untuk kepentingan awam dan apa yang didedahkan oleh portal berita itu hanyalah satu proses dalam pelantikan Peguam Negara. Malangnya, tingkat proses itu tidak dilaporkan sepenuhnya, menyebabkan Seri Paduka menjadi mangsa fitnah di alam maya.
Institusi Raja-raja bukan boleh dibuat main-main kerana mereka adalah tiang negara. Rukun Negara juga jelas menyatakan rakyat Malaysia wajib setia kepada Raja dan negara.
Syukur, Abdul Kadir sedar akan tanggungjawabnya dan memilih untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan. Memang wajar kerana beliau memainkan isu yang sangat pantang pada fikiran umum orang Melayu.
Kini, Abdul Kadir disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, iaitu antara undang-undang lese majeste bagi melindungi institusi Raja-raja di negara ini. Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka berhubung isu berkenaan.
Perkembangan yang berlaku ini sebenarnya secara tidak langsung mewajarkan perlunya undang-undang lese majeste diperkukuhkan di Malaysia. Justeru, hasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 selaku undang-undang lese majeste perlu dipertimbangkan sedalam-dalamnya.
Penulis sedar, kempen bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan melabelnya sebagai ‘akta sakit hati’ dijalankan secara aktif menerusi pelbagai medium.
Undang-undang lese majeste bukan sesuatu yang luar biasa dan ia banyak dipraktikkan dalam banyak negara di dunia termasuk di negara-negara Eropah.
Di Asia, selain Cambodia, Thailand adalah antara yang cukup keras menguatkuasakan undang-undang lese majeste bagi melindungi institusi Raja Thailand.
Lese majeste bukan bertujuan menghalalkan kesalahan peribadi Raja, tetapi lebih pada melindungi negara sebenarnya, kerana Raja adalah sebahagian daripada negara ini.
Jika seorang Raja itu terbabit dengan jenayah atau kesalahan sivil atas sifat peribadi, mereka boleh dibicarakan menurut Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan dengan kebenaran Peguam Negara. Undang-undang Malaysia agak adil dalam mencorakkan hubungan Raja dengan rakyat.
Dalam kes pelantikan Peguam Negara mutakhir ini, Seri Paduka dan Raja-raja yang lain bertindak atas kapasiti sebagai Ketua Negara dan ahli Majlis Raja-raja, bukannya melakukan kesalahan atas sifat peribadi.
Raja-raja perlu dilindungi daripada serangan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian negara. Lupakah kita akan waadat Demang Lebar Daun terhadap Sang Sapurba?

Comments

comments