KWSP berkata cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya telah ditutup sementara  waktu berikutan kebakaran

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan kepada pencarum bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas susulan sebahagian pejabatnya di Petaling Jaya terbakar pagi tadi.

KWSP dalam kenyataan berkata cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya telah ditutup sementara  waktu berikutan kejadian tersebut.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Pengurus Krisis Cawangan sedang bekerjasama dengan pihak bomba bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain dan kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan telah dilakukan manakala pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihat mengunjungi cawangan terdekat yang terletak di ibu pejabat KWSP Jalan Raja Laut.

“Pencarum boleh menghubungi pusat pengurusan pelanggan KWSP di 03-89226000 atau menghantar pertanyaan melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa sebahagian daripada bangunan enam tingkat KWSP  Jalan Gasing, Petaling Jaya, dijilat api tengah hari tadi.

Usaha anggota Bomba dan Penyelamat yang sedang berusaha memadamkan kebakaran itu menarik perhatian orang ramai.

Asap tebal dan api yang menjulang kelihatan dari sebahagian bangunan itu yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya terbabit.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat KWSP Nurin  Mastura Din Merican, maklumat daripada pihak bomba mengatakan kebakaran itu kini telah dapat dikawal.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata semua kakitangan telah keluar dengan selamat dari bangunan berkenaan dan setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menurut Mohd Hafiz Mat Dali, Komander Operasi Bomba di tempat kejadian, hampir 40 peratus bangunan enam tingkat itu terbakar.

Punca kebakaran masih belum diketahui setakat ini.

Dalam pada itu, menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.53 pagi ini dan sampai di lokasi pada pukul 11.58 pagi.

Susulan kebakaran itu, masing-masing dua jentera dari Balai Bomba Seksyen 7 Petaling Jaya, Balai Bomba Penyelamat Damansara, Balai Bomba Penyelamat Pelabuhan Klang, Balai Bomba Penyelamat Hang Tuah dan Balai Bomba Penyelamat Pantai dikerah ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Operasi itu melibatkan 43 anggota termasuk tiga pegawai.

Comments

comments