Untuk sebab tertentu Kerajaan Persekutuan menangguhkan pengambilalihan Splash tanpa sebab munasabah

KUALA LUMPUR: Selangor tidak mempunyai masalah air, tetapi Kerajaan Persekutuan yang berhadapan masalah kewangan.

Demikian kata, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago susulan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang berkata kemelut air di Selangor lebih kritikal berbanding hutang negara.

“Siapa sebenarnya yang gagal dan mengecewakan rakyat Selangor?” soal beliau.

Sememangnya wujud kesukaran akibat gangguan air pada minggu lalu, namun Selangor sebenarnya menguruskan sumber airnya dengan baik.

“Gangguan air adalah disebabkan penyelenggaraan yang teruk di Loji Rawatan Air SSP3 yang dimiliki Splash (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor), bukan Selangor. Susulan pembaikan, sistem mampatan udara meletup, menyebabkan operasinya terhenti dan pembekalan tidak dapat dilakukan.”

Katanya, empangan di Selangor penuh, dengan margin simpanan air di Negeri Selangor adalah pada kadar 3.8% pada akhir 2017.

“Ia akan meningkat kepada 11% pada awal 2019 dengan pembukaan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Langat 2. Air Selangor yang dimiliki Kerajaan Negeri Selangor telah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 32.6% kepada 30.1% pada 2017. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM374 juta untuk menggantikan 423 kilometer paip lama meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata Charles dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegagalan pertama ialah pengendali SSP3, iaitu Gamuda Water yang dilantik Gamuda Berhad selaku pemegang saham terbesar Splash.

“Gamuda Water mempunyai hutang yang banyak dalam bentuk bil tidak berbayar kepada TNB berjumlah RM39.5 juta. Masalah kewangan berkenaan berkemungkinan menyumbang kepada penyelenggaraan yang teruk di loji rawatan air terbabit,” jelas beliau.

“Kegagalan Gamuda Water menyelenggara SSP3 menyebabkan Air Selangor terpaksa mengambil inisiatif menyelesaikan kerja pembaikan,” tambahnya lagi.

Sambung Charles bahawa Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (Span), sebuah badan penguatkuasa oleh Kerajaan Persekutuan.

“Span seharusnya memantau Loji SSP3. Mereka sepatutnya memastikan perkhidmatan berkualiti untuk pengguna di Selangor.”

“Namun, anggota jawatankuasa Span, seperti Zaini Ujang, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tenaga dan Teknologi Hijau membuat tuduhan palsu berbaur politik mengenai Selangor di media sosial, di mana mereka sepatutnya bersikap neutral dan profesional,” ujar beliau sambil menambah Span juga seharusnya mengumumkan bahawa mereka akan menyiasat punca letupan di SSP3 dan pemberhentian operasi.

Charles turut mendakwa kegagalan ketiga ialah Putrajaya.

“Mengikut dasar air kebangsaan, Putrajaya perlu membiayai pengembalian aset air yang dimiliki swasta kepada kerajaan, sama ada Persekutuan atau negeri.”

Katanya, mereka sepatutnya membiayai pengambilalihan Splash, bahagian terakhir dalam penstrukturan air di Selangor.

“Putrajaya selesai membayar untuk Puncak Niaga, Syabas dan Abass untuk dikembalikan bawah kawalan Selangor. Untuk sebab tertentu Persekutuan menangguhkan pengambilalihan Splash tanpa sebab munasabah,” dakwa Charles.

Ujar beliau, Putrajaya hanya ingin membayar 60% kos pengambilalihan dan mahu Selangor menanggung kos 40% pengambilalihan.

“Tiada penjelasan dibuat terhadap Selangor mengapa Putrajaya tidak lagi mahu membiayai pengambilalihan 100% seperti sebelum ini. Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau,  Dr Maximus Ongkili hanya tahu melaungkan “namakan sebut harga.”

“Mengapa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali perlu menamakan sebut harga apabila Putrajaya menyatakan sanggup membiayai pengambilalihan? Hujahnya kini ialah adakah Putrajaya sanggup membiayai kos pengambilalihan dan tidak meletakkan beban pada rakyat Selangor?” tanya beliau lagi.

Katanya, Putrajaya sepatutnya telus sama ada mereka mempunyai wang atau tidak bagi memuktamadkan penstrukturan air Negeri Selangor.

“Putrajaya mesti menjawab akan keraguan yang timbul mengenai kedudukan kewangannya. Mereka juga mesti menyokong penyelesaian penstrukturan air daripada mempolitikkan air milik rakyat,” tegas Charles.

Comments

comments