Pihak yang berkempen akan isu sebenar yang akan mendapat sokongan rakyat.

MINGGU ini adalah minggu khusus bagi kaum Tionghua sibuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Tahun Baru Cina.

Namun, ada perkara lain yang dijangka akan mendominasi pertemuan sanak-saudara kaum Cina serta sahabat handai daripada kaum lain pada perayaan kali ini.

Sana-sini di Malaysia, rumah terbuka Tahun Baru Cina akan dipenuhi topik bilakah Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan dan sikap anti-China oleh pimpinan Pakatan Harapan.

Benar, sudah lebih setahun rakyat Malaysia berteka teki bilakah pilihan raya umum akan diadakan, namun semuanya salah tekaan.

Mesej tular di aplikasi WhatsApp akan pembubaran Parlimen sudah banyak rasanya sehingga ia menjadi bahan ketawa.

Mana mungkin Parlimen dibubarkan hari Sabtu atau Ahad yang mana, ketika itu orang bercuti. Ada juga mesej tular mengatakan Parlimen bubar selepas Perdana Menteri bersama Speaker Dewan Rakyat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Seingat penulis, belum pernah dalam sejarah negara Perdana Menteri minta perkenan membubarkan Parlimen sambil membawa Speaker Dewan Rakyat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan lain, kempen Pakatan Harapan membawa semangat nasionalisme Malaysia dengan memainkan sentimen anti-China sudah kerap diperkatakan.

Memang terasa wujud prasangka kurang enak dalam kalangan rakyat terhadap warga Republik Rakyat China dan bahangnya turut dirasai oleh pimpinan negara kuasa dunia itu.

Masakan tidak, jika dilihat pada portal berita berbahasa Inggeris negara berkenaan, agak kerap juga topik kempen pembangkang Malaysia memainkan sentimen anti-China.

Pada penulis, ia isyarat yang kurang baik kepada negara, khasnya dalam usaha kita mengekalkan momentum pelaburan daripada negara itu.

Harus diingat, China adalah sebuah negara yang sedang berkembang dan dijangka mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi dunia. Tambahan pula, kedudukan geografi Malaysia dekat dengan China, menjadikan negara itu penting untuk Malaysia.

Sementara itu, isu Melayu-Islam terus mendominasi politik negara dengan sentimen Melayu-Islam diancam kehadiran evangelist Kristian, kuasa Melayu terhakis dan Cina akan ambil alih negara.

Isu Melayu-Islam adalah taktik politik murahan, namun tidak dinafikan ia senjata meraih sokongan yang cukup efektif, lagi-lagi dalam Malaysia yang berbilang kaum.

Tidak dinafikan, juara kempen cara ini adalah Umno dan PAS, yang mana kedua-duanya ialah parti politik berteraskan agenda Melayu di Malaysia.

Kempen sebegini tidak salah, cuma tidak berapa kena dengan realitinya iaitu Melayu-Islam mendominasi negara lebih 60 peratus jumlah penduduk.

Itu belum lagi diambil kira institusi penting negara seperti Raja-raja, hakim dan anggota tentera yang semuanya dikuasai Melayu. Adalah tidak logik mengatakan Melayu tewas berdasarkan fakta berkenaan.

Yang pasti, pilihan raya umum adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat. Pihak yang berkempen akan isu sebenar itulah yang akan mendapat sokongan rakyat. Biarlah berhemah dan berusahalah menyelami hati rakyat kerana rakyat lebih mementingkan hidup seharian mereka.

Comments

comments