Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Soiman Jahid berkata bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu poliform yang mudah terbakar

PETALING JAYA: Kebakaran di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini dipercayai berpunca daripada percikan api semasa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di tingkat satu bahagian luar bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Soiman Jahid berkata bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu poliform yang mudah terbakar.

“Daripada kajian dan siasatan awal, dinding bangunan ini dipasang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak diluluskan oleh mana-mana pihak.

“Kebakaran bermula dari tingkat satu yang sedang dijalankan kerja penyelenggaraan. Ditambah pula keadaan angin serta cuaca panas yang turut menjadi pendorong kepada kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan serta sebahagiannya di dalam tingkat enam bangunan itu.

Bagaimanapun kata Soiman, seramai 527 orang pekerja yang berada di bangunan itu ketika kejadian telah dikeluarkan dan ditempatkan di kawasan lapang berdekatan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba tujuh minit kemudian,  Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit ,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ini kali pertama kejadian kebakaran melibatkan ‘cladding’ (bahan pelapis) yang mudah terbakar berlaku di negara ini.

Katanya, mana-mana bangunan yang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan telah melanggar Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

“Secara tidak langsung, bangunan (KWSP) telah melanggar undang-undang ini,” katanya.

Sehubungan itu Soiman mengesyorkan bangunan-bangunan lain yang memasang ‘cladding’ yang mudah terbakar supaya menggantikan dengan yang baharu.

“Biasanya bahan mudah terbakar dan tidak mengikut standard yang ditetapkan adalah lebih murah serta berbahaya.

“Oleh itu, bomba akan membuat pemeriksaan terhadap bangunan lain dan sijil bomba tidak akan dikeluarkan sehingga mereka mengganti material ‘cladding’ yang baharu, ” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden ini.

‘Terdengar bunyi letupan dari luar bangunan’

Sementara itu seorang petugas KWSP yang berkerja di bangunan itu berkata beliau terdengar letupan dari luar bangunan berkenaan sebelum dimaklumkan  mengenai bahagian kiri bangunan KWSP telah dijilat api.

T. Saraswati, 38, berkata ketika kejadian beliau sedang bertugas di kaunter pertanyaan di lobi bangunan itu.

“Saya terdengar bunyi letupan dari bahagian luar bangunan, ingatkan terdapat kerja-kerja pembinaan. tetapi sangkaan saya meleset apabila pihak keselamatan memaklumkan bahagian kiri bangunan telah terbakar.

Kesemua pekerja yang parkir kenderaan berdekatan kawasan kebakaran bergegas mengalihkan kenderaan masing-masing dan ada antara mereka tidak dapat berbuat demikian berikutan api telah marak, kurang 10 minit, lebih 40% bangunan ini telah musnah dijilat api,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang pemilik kereta Perodua Myvi berputih mata selepas kereta yang baru dibeli kira-kira tiga bulan lalu turut terjejas akibat kebakaran tersebut.

Pemilik kereta yang dikenali sebagai Riduan, 29, berkata selepas kejadian itu, dia cuba untuk mengalihkan kenderaan itu, namun dihalang oleh pekerja lain kerana bahagian hadapan kereta telah terbakar.

“Ketika kejadian saya berada di tingkat 4, sejurus dimaklumkan oleh pengawal keselamatan, saya terus berlari mendapatkan kereta saya tetapi ketika itu bahagian hadapan kereta saya telah teruk terbakar.

Namum saya bersyukur kesemua pekerja selamat” katanya.

Bagi pengguna Lebuhraya Persekutuan, Salehien Abdul Rahman, 25, yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata api daripada kebakaran itu boleh dilihat hingga 3km.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan dari Shah Alam ke ibu kota, saya dapat melihat api marak dari jauh dan keadaan jalan amat sesak kerana orang ramai berkerumun melihat kejadian itu,” katanya.

Comments

comments