BERITA DAILY LETTER: Dari Syed Saddiq, via e-mail

Saya ingin membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin berkenaan Dr Mahathir Mohamad akan menyebabkan keraguan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Pada zaman Mahathir, beliau telah berjaya membawa revolusi Malaysia ke satu tahap yang baru dengan kejayaannya yang berjaya membawa Malaysia daripada dunia agrikultur ke dunia industri.

Bukan itu sahaja, malah Mahathir juga telah berjaya menjalankan projek-projek mega milik Malaysia seperti Menara KL dan Menara Berkembar Petronas. Pada zaman Mahathir juga, Malaysia diberi gelaran Harimau Ekonomi Asia.

Tindakan Mahathir ketika menangani krisis ekonomi 1998 juga dipuji oleh Bank Negara dan tindakan beliau dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin dunia dan ahli-ahli ekonomi.

Peralihan kuasa diantara Perdana Menteri bukan sesuatu yang baru. Posisi Mahathir yang mahir dengan selok belok kerajaan untuk memacu perubahan adalah pilihan yang tepat buat Pakatan Harapan pada masa ini.

Menteri-menteri Umno menyalahkan Mahathir diatas semua penyalahgunaan kuasa beliau dahulu. Jika benar terbukti Mahathir bersalah, mengapa mereka tidak berani untuk mengambil tindakan dan mengubah sistem tersebut? Sebaliknya mereka meneruskan kesalahan lalu.

Kita jangan lupa dibawah pemerintahan Najib Razak juga mahasiswa masih lagi terancam sekiranya mereka lantang bersuara menentang kerajaan. Mereka akan diugut dibuang kolej ataupun universiti.

Mereka juga akan melakukan bermacam-macam cara bagi menutup mulut rakyat. Mereka akan ditahan dibawah Sosma.

Jangan kita mencari kesalahan-kesalahan pemimpin yang lalu untuk menutup kesilapan mereka sendiri sehinggakan Malaysia dilabel negara kleptokrasi oleh Peguam Negara Amerika Syarikat.

Media-media antarabangsa seperti Bloomberg, Wall Street Journal dan juga Reuters melaporkan berkenaan reputasi buruk negara kita. Adakah berita seperti ini akan membawa keyakinan kepada pelabur asing?

Pada zaman Mahathir, rakan-rakan ekonomi sedunia memuji dan berebut-rebut untuk melabur di Malaysia. Mereka bangga melabur di Malaysia. Inilah benda yang baik yang akan kami teruskan.

Sejak kebelakangan ini kita digemparkan dengan skandal-skandal mega seperti isu tanah Felda, 1MDB walhal duit di KBS sendiri, yang merupakan jabatan Khairy sendiri pun beliau tidak tahu kemana hilangnya duit tersebut.

Saya yakin dan percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairy ini kerana takut akan Pakatan Harapan yang menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-7, beliau tahu dengan penamaan ini akan menggugat kedudukan Umno kerana sokongan Melayu, kubu kuat Umno khususnya akan beralih ke Pakatan Harapan pada PRU yang akan datang.

Syed Saddiq adalah Ketua Pemuda PPBM

Comments

comments