BERITA DAILY LETTER: From Prasanth Kumar Brakasam, via e-mail

Pada tahun 2012, pintu gerbang Little India telah dibina di Jalan Bendahara Melaka dibawah pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Pada tahun yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melawat ke Melaka dan mengisytiharkan tempat itu sebagai ‘Little India’.

Pada tahun 2015, Pihak Berkuasa Tempatan telah menanggalkan dua buah pintu gerbang tersebut yang dibina pada 2012.

Tiga kenyataan bercanggah

Pertama, Setiausaha Hal Ehwal Khas kepada Ketua Menteri Melaka, Shanmuganathan telah memberikan sebab menanggalkan pintu gerbang ini adalah untuk kerja-kerja penyelenggaran.

Kedua, Exco kerajaan negeri Melaka, MS Mahadevan telah menyatakan bahawa pintu gerbang ini ditanggalkan atas sebab ia tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak ia dibina pada tahun 2012.

Ketiga, Ketua Menteri Melaka, Idris Haron pula memberitahu bahawa tujuan utama pintu gerbang ini ditanggalkan sebelum ini adalah kerana ia didapati mengganggu kelancaran pergerakan lalu lintas.

Pada 31 Januari 2018, ketua menteri Melaka telah melancarkan Reka Bentuk Pintu Gerbang yang baru. Projek baru yang dianggarkan kos sebanyak RM2 juta ini katanya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk disiapkan.

Satu sejarah telah dicipta apabila lebih daripada 150 orang masyarakat India Melaka berkumpul dan protes di Jalan Bendahara pada 4 Februari yang lalu untuk mempertahankan pintu gerbang yang menjadi salah satu identiti masyarakat India di Melaka yang turut disertai oleh Adun Senawang, P Gunasekaran dan Adun Nilai, J Arul Kumar.

Pada 8 Februari, saya dan G Saminathan, Naib Pengerusi DAP Melaka telah pergi ke Tingkat 4 iaitu terletaknya Jabatan Kejuruteraan dan Alam Sekitar di pejabat MBMB dan diberitahu oleh staf di sana bahawa kontraktor/syarikat akan berkumpul jam 9.30 pagi bertarikh 9 Februari 2018 untuk membuat lawatan ke tapak.

Di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional, semua rakyat Malaysia terutama kaum India terpaksa turun ke jalan raya untuk membela hak, nasib dan pertahankan identiti kaum mereka.

Seperti kita semua tahu, kita ada Kampung Morten yang merupakan identiti kaum Melayu, Jonker Street sebagai identiti kaum Cina dan Perkampungan Portugis sebagai identiti masyarakat Portugis.

‘Little India’ Jalan Bendahara merupakan salah satu identiti kaum India di Melaka. Saya menggesa masyarakat India di Melaka agar mereka tidak tertipu dengan tipu helah Barisan Nasional dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Untuk menaikkan semula pintu gerbang ini, Barisan Nasional perlu diturunkan pada PRU ke-14 yang akan datang. Kami yakin pintu gerbang ini akan dinaikkan semula apabila Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pimpinan di Seri Negeri selepas PRU yang ke-14.

Prasanth Kumar Brakasam merupakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Negeri Melaka

Comments

comments