Pihak polis telah mengesahkan bahawa penama ini telah ditahan oleh Polis Interpol Bukit Aman, namun enggan memberitahu apa kes dan juga status kes

KUALA LUMPUR: Parti  Tindakan Hak Minoriti (Mira) hari ini meminta Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri  dalam satu kes yang dikatakan seorang individu ‘hilang’ sejak 2012 selepas ditahan pihak polis.

Menurut S Gobikrishnan, Naib Presiden Mira, Syed Mohamed Abdul Rahsid yang bertaraf Permastautin Tetap bersama kawan beliau yang dikenali sebagai Nallathamby didapati
hilang dari sewaktu pulang ke rumah dari Restoran beliau pada jam 3.00 pagi pada 13/10/2012.

“Sehubungan itu,isteri beliau telah membuat satu laporan polis ‘Missing Person’ pada 14/10/2012 di Kajang, Selangor. Namun, pihak polis di Kajang meminta keluarganya merujuk kes ini  kepada Interpol Bukit Aman, dan mereka telah berjumpa dengan pegawai ASP Anand Joseph di Pejabat Interpol Bukit Aman.

“ASP Anand Joseph ini telah mengesahkan bahawa penama ini telah ditahan oleh Polis Interpol Bukit Aman namun beliau enggan memberitahu apa kes dan juga status kes,” kata Gobikrishnan.

“Sejak itu mereka juga telah banyak kali ke sana namun sentiasa tidak dilayan. Malahan tahanan tersebut juga tidak direman atau dituduh di mahkamah selama lebih 6 tahun. Pelik tapi Benar,” tambah Gobikrishnan yang meminta Menteri KDN dan Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negara supaya segera menyiasat kes ini.

Dalam pada itu,Gobikrishnan tidak menolak kemungkinan berlakunya pelanggaran hak asasi dan kemungkinan wujud komplot sama seperti kes kehilangan Pastor Koh dan aktivitis Amri Che Mat.

“Namun yang menarik dalam kes ini, pihak polis telah mengesahkan secara lisan bahawa mereka yang telah menahan penama namun tidak mahu memberi sebarang pengesahan secara bertulis mahupun hendak menghadapkan penama ini ke mahkamah,” jelasnya.

“Apakah ini satu SOP baru pihak polis? Menahan seseorang namun tidak direman atau dihadapkan ke mahkamah malahan keluarga tidak langsung diberitahu secara rasmi
selama lebih 6 tahun?” soal beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa Mira bersama keluarga tahanan akan berjumpa dengan Muhyiddin dan KPN dalam minggu ini mendapatkan keadilan kepada pihak keluarga.

“Nampaknya, kemungkinan banyak lagi kes sebegini dimana orang ditahan polis namun diklasifikasikan sebagai kes hilang dan kemungkinan kes ini juga akan memberi
petunjuk kepada kes Pastor Koh dan aktivis Amri Che Mat,” tegas Gobikrishnan lagi.

Comments

comments