BERITA DAILY LETTER: Dari Jamal Nasir, via e-mail

Kami memohon jasa baik YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan semua ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan semula perbincangan perlantikan jawatan bakal Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seperti yang diputuskan sewaktu konvensyen Pakatan Harapan tempohari.

Kami menghormati keputusan yang telah diputuskan, akan tetapi melihatkan reaksi balas daripada para penyokong, kami percaya pandangan akar umbi juga perlu didengar, dan kami berharap pihak Majlis Presiden bersikap lebih terbuka.

Kami melihat keperluan menyakinkan rakyat atau pengundi adalah lebih utama. Gabungan Tun Mahathir dan Datin Seri Dr Wan Azizah adalah baik, akan tetapi seperti disebutkan pandangan penyokong adalah sebaliknya. Mereka lebih yakin kepada gabungan generasi muda, Azmin-Mukhriz.

Cadangan kami ini adalah berdasarkan pemerhatian kami terhadap kebangkitan anak muda beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka pastinya ingin melihat negara dibina semula oleh genre muda agar negara mendapat sentuhan urustadbir yang lebih segar.

Cadangan ini juga pada hemah kami masih dapat memenuhi hasrat Tun dan di pihak PKR selaku parti yang telah lama memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat akan turut gembira. Bagi menghadapi BN adalah perlu tenaga muda digemblengkan, dan tenaga orang lama berupa nasihat, tunjuk ajar dan panduan dari YAB Tun, DS Wan Azizah dan Tuan Lim Kit Siang boleh dirujuk.

BN dan Umno adalah terlalu sukar digugat dengan kelebihan sebagai pemerintah, justeru memilih Azmin yang cemerlang memimpin Selangor akan memberi nilai tambah kepada Pakatan Harapan.

Gabungan Azmin-Mukhriz – Timbalan II dari DAP akan melakarkan sejarah baru politik Malaysia. YAB Tun perlu diberi ruang rehat atas faktor tenaga dan umur. Kami sangat khuatir, YAB Tun tidak akan mampu bertahan dalam usia beliau, keganasan politik hari ini menuntut tenaga muda menghadapinya.

Sementelahan YAB Tun akan dijadikan “punching bag” pihak lawan ekoran masalah-masalah masa lalu. Bebanan sejarah lalu akan menjadi bahan serangan kepada YAB Tun seperti kes Forex yang didedahkan RCI, masih gagal dijawab dengan menyakinkan rakyat. Rakyat tidak boleh menerima jawapan “Tidak Tahu” tetapi memerlukan jawapan tuntas.

Memandangkan PRU 14 makin hampir, adalah disarankan Majlis Presiden kembali duduk semeja dan mempertimbangkan untuk mengubah keputusan tersebut bagi menarik kembali keyakinan anak muda terhadap Pakatan Harapan.

Comments

comments