Jika ekonomi tidak berkembang, tidak mungkin dapat sediakan peluang pekerjaan kepada ribuan anak-anak yang keluar dari institut pengajian tinggi awam

KANGAR: Perdana Menteri Najib Razak berkata ekonomi negara tidak akan berkembang jika pembangunan infra-rakyat atau infrastruktur untuk rakyat tidak disediakan dan dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata apabila keadaan ekonomi sentiasa berkembang dengan baik, kerajaan bukan sahaja mampu membina infra-rakyat malah berpeluang menyediakan pekerjaan dan memberi pelbagai subsidi kepada rakyat yang memerlukan.

“Jika ekonomi tidak berkembang, kita tidak mungkin dapat sediakan peluang pekerjaan kepada ribuan anak-anak kita yang keluar dari institut pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (Unimap) setiap tahun.

“Dan jika keadaan ekonomi tidak berkembang, mana mungkin kita dapat beri subsidi dalam bidang pendidikan, kesihatan dan tampung perbelanjaan untuk semua penjawat awam,” katanya sewaktu berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis dalam lawatan seharinya ke negeri ini.

Sebelum itu, ketibaan Najib yang diiringi isteri beliau, Rosmah Mansor disambut Menteri Besar Perlis Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan ribuan rakyat.

Menyentuh mengenai hutang negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia kini berada di paras terkawal dan dibelanjakan untuk kegunaan pembangunan infrastruktur demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

“Kalaulah sehari dua ini diwar-warkan, dipukul, dicanang, dimomok konon hutang negara adalah terlalu besar, tetapi hakikatnya dan sebenarnya adalah di sebaliknya.

“Ini kerana kita telah tetapkan siling 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kita. Hutang negara kita 50.8 peratus dari KDNK sahaja. Malah, Singapura, Jepun dan Itali mempunyai hutang lebih besar.

“Tetapi itu bukanlah ukurannya kerana apa yang lebih penting adalah kemampuan membayar balik. Hutang kita 98 peratus di dalam ringgit tetapi kita mampu bayar balik,” katanya diselangi dengan tepukan gemuruh hadirin yang hadir di kompleks UTC tersebut.

Najib kemudian mengumumkan sebanyak 500 unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Kangar akan dibina tidak lama lagi membabitkan kos RM78 juta dalam membantu rakyat tidak berkemampuan memiliki rumah kediaman.

Perdana Menteri berkata oleh itu, Parlimen Kangar, Padang Besar dan Arau kini telah dan bakal menerima projek PPR tersebut selain projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini namun belum diumumkan.

Jelasnya ia meliputi Loji Rawatan Air Timah Tasoh untuk membekalkan 40 juta liter air sehari (RM41 juta), projek rawatan air tidak terhasil seluruh Perlis (RM50 juta), pintu kawalan air di Sungai Perlis (RM50 juta), Terminal Awam Bersepadu Beseri (RM30 juta), Bazar Ria Padang Besar (RM10 juta) dan Bazar Ria Kangar (RM10 juta).

“Inilah projek-projek rangsangan ekonomi untuk negeri Perlis. Mudah-mudahan ia rangsangkan sesuatu bila sudah sampai tiba masanya nanti,” katanya.

Najib kemudian sempat beramah mesra dengan penjawat awam di kompleks tersebut yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkaitan kerajaan dan swasta sebelum beredar meninggalkan majlis.

Comments

comments