Dua dekad pembangkang menongkah arus melawan kekuasaan politk Barisan Nasional, apakah kali ini Harapan bakal nenjadi realiti

KETIKA bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat timbalannya Anwar Ibrahim saya berusia 12 tahun dan sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 1998. Tajuk utama akhbar Utusan Malaysia pada hari itu ialah ‘Anwar dilucutkan jawatan’.

Selepas dipecat dari parti Umno dan dilucutkan jawatan dari kabinet, gelombang reformasi membantai kota Kuala Lumpur saban hari sehingga berlakunya penangkapan orang awam dan beberapa pengikut setia bekas pemimpin Abim itu.

Pada tahun 1999, parlimen dibubar. Ceramah parti politik berdentum-dentam seperti guruh dilangit. Barisan Alternatif lahir sebagai wadah perjuangan politik pembangkang yang dikemudi oleh PAS dan DAP.

Parti Keadilan Nasional pula bergabung tenaga bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM) lalu membentuk apa yang dikenali hari ini sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Buat pertama kalinya didalam sejarah Malaysia moden, Barisan Nasional ditampar hebat oleh Barisan Alternatif. Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerusi-kerusi DAP dan PAS bertambah.

Gabungan parti pembangkang yang diuli dengan sentimen kemarahan rakyat terbukti ampuh.

Harapan rakyat untuk menyaksikan Mahafiraun tewas dibawah kekuasaannya sendiri hampir menjadi kenyataan. Tetapi harapan itu tidak menjadi realiti.

Hampir 20 tahun selepas itu hari  ini kita menyaksikan pelbagai perubahan politik didalam negara. Bukan setakat Barisan Alternatif sudah tiada, bahkan nama Pakatan Rakyat yang menjadi tunjang kemenangan pembangkang pada pilihanraya 2008 juga sudah berubah kepada Pakatan Harapan.

Mahafiraun aka Mahathir Mohamad kini adalah seorang ‘reformis’ yang telah dibaptis oleh Pakatan Harapan.

Jika pada tahun 1998 dan 1999, PAS menjadi satu ketumbukan ampuh buat pembangkang kini, parti Islam itu sudah terpecah dua.

Dua pemimpin hebat parti itu, Fadzil Noor serta Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah meninggal dunia. Golongan professional dan modernis dari parti itu keluar untuk menubuhkan Amanah sebagai alternatif kepada parti yang kini dikuasai golongan Ulama konservatif.

DAP masih lagi sebuah parti yang sering dilabel sebagai parti Cina, komunis dan chauvanis oleh media pro Umno tetapi tidak seperti tahun1998/99, parti itu kini menjadi ketua kerajaan di Pulau Pinang.

Bukan setakat itu sahaja, ramai golongan Melayu muda kini adalah sebahagian dari parti itu dan masyarakat Cina lebih memberi kepercayaan kepada parti itu berbanding MCA dan Gerakan. Ini dibuktikan pada PRU 2008 dan 2013.

Satu perkara yang paling memeranjatkan sepanjang tempoh 20 tahun ini adalah kemasukan negarawan Mahathir Mohamad ke dalam blok pembangkang. Tidak ada satu pun pawang atau tukang tilik yang dapat menilik perkara ini kerana ianya satu kejadian yang hampir sekali mustahil. Tapi ‘in real politic’ segalanya tidak mustahil.

Setelah dibaptis, Mahafiraun kini diangkat semula untuk menjadi calon interim perdana menteri jika Pakatan Harapan menang pilihanraya akandatang.

Dibawah parti baru pimpinan beliau, Mahathir hanya ada satu misi iaitu menendang keluar Najib Razak, sosok yang ‘di-endorse’ oleh Mahathir sewaktu krisis dalaman Umno melibatkan Abdullah Ahmad Badawi yang juga suatu masa dahulu diangkat oleh ‘doctor in the house’ itu sendiri.

Peneliti politik lokal menganggap Mahathir sebagai calon paling sesuai untuk memikat undi golongan Melayu luar bandar dan golongan Melayu tua.

Prof Ahmad Atory Hussain menganggap Mahathir akan menyebabkan orang Melayu Felda mengundi Pakatan Harapan.

Hishammudin Rais, bekas mangsa kekejaman Mahathir turut menyamai pandangan Atory. ‘Mengepung kota dari desa’ itulah tajuk tulisan terbaru Hishamuddin Rais yang mengujakan teori bahawa orang yang paling sesuai untuk menebus masuk ke dalam kampung-kampung Melayu adalah tidak lain tidak bukan Mahafiraun sendiri.

Pakatan Harapan nampaknya begitu yakin bahawa pengaruh bekas perdana menteri ini bakal membawa mereka lebih dekat kepada tampuk kuasa. Oleh itu tidak hairanlah mengapa mereka memilih bekas seteru utama mereka sekali lagi untuk menjadi pemimpin negara.

Akan tetapi, adakah dengan pengaruh Mahathir Mohamad ini Pakatan Harapan bakal diberikan kunci utama pintu Putrajaya? Dengan tarikh piliharan raya semakin dekat, berita-berita persempadanan semula menjadi tajuk utama akhbar alternatif negara.

Kini, berita akan kebarangkalian kekalahan Adun Hulu Klang Saari Sungib menjadi berita utama ‘The Malaysian Insight’.

Menurut laporan berita itu, sejumlah besar data penyokongnya akan dipindahkan kekawasan parlimen bersebelahan jika cadangan perubahan persempadanan itu berjaya dilaksanakan.

Kisah Saari Sungib ini bukan kisah terasing, kerajaan negeri Selangor sudah pun membawa perkara ini ke mahkamah. Selain Selangor, di Johor turut dikatakan bahawa sebuah kem tentera sudahpun menerima pengundi tentera walaupun kem itu belum siap sepenuhnya.

Apa ertinya semua ini dan apa gunanya mengangkat Mahathir Mohamad jika sebelum perang bermula, pihak lawan sudahpun menipu.

Dengan proses berat sebelah dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) apakah boleh Pakatan Harapan menang untuk sekian kalinya?

Jika projek persempadanan semula ini diluluskan, apakah jalan lain untuk Pakatan Harapan menang pada PRU kali ini kerana saya percaya, jika projek ini terus dibenarkan tidak ada individu lain didalam dunia ini yang boleh memenangkan Pakatan Harapan, jauh sekali faktor Mahathir Mohamad.

Oleh itu apa yang tinggal untuk kita semua? Hanya tinggal ‘harapan’ atau ‘hope’ untuk kita berserah. Itulah perkara yang paling ‘spoil’ untuk kita manusia.

Bergantung harap pada sesuatu yang kita sendiri tidak pasti pengakhirannya bagaimana. Kita hanya boleh berharap untuk Pakatan Harapan terus menang.

Kita hanya boleh berharap untuk Najib Razak terus berkuasa ataupun tewas dan kita juga hanya boleh berharap untuk Mahathir Mohamad melepaskan jawatan interimnya kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan.

Malaysia pernah berharap suatu masa dahulu untuk reformasi, Malaysia pernah berharap suatu masa dahulu sewaktu pilihanraya 2008, turut sama berharap empat tahun selepas itu pada 2013, dan kini terus berharap untuk Malaysia baru.

Masihkan ada harapan untuk Malaysia kali ini?

Kini saya faham mengapa lagu kebangsaan Israel diberi tajuk ‘Ha Tikva’ yang membawa maksud ‘The Hope’.

Comments

comments