Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin elit yang hidup kaya raya dan tidak merasai keperitan hidup rakyat di bawah

KUALA LUMPUR: Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang suatu ketika begitu musuhinya kini mengangkatnya sebagai pemimpin utama membuktikan Dr Mahathir Mohamad adalah raja politik belit di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Dr Riduan Mohd Nor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pemimpin PH dan seangkatan dengan mereka akan sekali lagi tergigit oleh Mahathir, jika beliau sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

“Mahathir memang terkenal dengan kaki putar dan ahli politik yang licik. Kerana kepintarannya itu, beliau mampu membelit dan menyusup masuk mana-mana lorong politik,” katanya.

Kenyataannya terbaharu Mahathir mengenai kutipan tol dengan mempertahankan langkah pentadbirannya dahulu mengenakan kutipan tol amat membingungkan rakyat.

Malah beliau membandingkan kadar tol di negara ini dengan negara lain dengan menganggap ia sebagai termurah di dunia.

“Perbandingan harga tol di negara ini dengan negara lain dibuat seakan-akan menegaskan bahawa tindakan pentadbirannya dahulu adalah betul dan tepat sekali.

“Mungkin benar PM sekarang menggelarnya ‘bapa segala tol,” tegasnya.

“Jika begini pendirian seorang pemimpin yang dianggap memperjuangkan rakyat di negara ini, apakah beza perjuangan beliau dengan Perdana Menteri Najib Razak sekarang?” soalnya.

“Bukankah nada dan suara mereka hampir sama? PM juga menyatakan harga barangan dan kos sara hidup di negara ini antara terendah berbanding negara lain, harga barang termurah, harga minyak paling rendah, GST paling sedikit, dan lain-lain lagi.”

Beliau banyak mengambil contoh negara-negara lain yang mengenakan kesemua cukai, GST, harga minyak, barangan dan lain-lain lagi berbanding negara ini.

“Jika harga tol di negara ini termurah di dunia, lalu perlu dipertahankan, apakah dasar perjuangan Pakatan Harapan dalam membela rakyat terbanyak khususnya mereka yang terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup,” ujar Riduan.

Menurutnya, adalah sukar bagi rakyat meneka apakah pendiriannya dalam membela dan memperjuangkan rakyat, sedangkan tol adalah sebahagian daripada bebanan yang menimpa rakyat.

“Pada hakikatnya, Mahathir adalah seorang pemimpin elit yang hidup kaya raya dan tidak merasai keperitan hidup rakyat di bawah, justeru beliau tidak tahu bebanan yang rakyat hadapi sekarang.

“Bayangkan jika Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri, mungkin apa yang disanggahnya sekarang pun akan terbalik.

“Beliau pula akan membela dan mempertahankan segala dasar dan cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sekarang, dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah,” kata Riduan lagi.

Comments

comments