Dalam percaturan politik, beliau tiada tandingannya selama ini kecuali Najib Razak yang dapat membaca  dan menangkas setiap langkah dan strateginya

PERIBAHASA Cina mengatakan peluang akan timbul setiap kali berlaku sesuatu krisis.

Dr Mahathir Mohamad adalah seorang politikus yang licik sekali tentunya memahaminya.

Beliau senantiasa muncul dan menangguk di air keruh sebagai pemenang.

Dalam percaturan politik, beliau tiada tandingannya selama ini kecuali Najib Razak yang dapat membaca dan menangkas setiap langkah dan strateginya.

Kepetahan Mahathir dalam penyusunan politiknya dapat disenarailan seperti berikut :

1. Menyemarakkan kebencian terhadap Tunku Abdul Rahman yang mempunyai imej sederhana dan toleran terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Hobi Tunku dalam sukan lumba kuda juga dijadikan sasaran dan isu untuk menyemarakkan api kemarahan di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam krisis perkauman 13 Mei , Mahathir telah berjaya menonjolkan diri sebagai pelampau Melayu atau “Ultra Malay” yang seterusnya mencelupkan dirinya sebagai Melayu jati walaupun beliau berketurunan Kerala.

Dalam sekelip mata, Mahathir sudah menjelmakan diri sebagai pejuang Melayu yang patriotrik dan Tunku sebagai penggadai maruah bangsa.

Pemusuhan Tunku Abdul Rahman dengan Mahathir berterusan hingga ke akhir hayatnya tetapi Tunku seorang “gentleman” yang tidak kasar atau karut.

Itulah “Bapa Malaysia” kita yang tidak diberi penghormatan yang sepatutnya dalam menjadi jambatan yang menyambung jurang-jurang perbezaan kaum Melayu, Cina , India dan kemudiannya pribumi Sabah dan Sarawak.

2.  Dalam krisis Perlembagaan 1983 yang melibatkan pindaan yang menyekat kuasa dan peranan Raja-raja Melayu, Mahathir sekali lagi menonjolkan diri sebagai pejuang yang memihak pada rakyat dan bukannya raja.

Sekaligus beliau meminda Perkara 150 dalam Perlembagaan dan memindahkan kuasa pengumuman darurat dari Yang Di Pertuan Agong kepada dirinya sebagai Perdana Menteri.

3. Dalam krisis kehakiman tahun 1988 , sekali lagi Mahathir berjaya menangkas gandingan kuasa bekas Timbalan Perdana Menterinya Musa Hitam dan pencabarnya Tengku Razaleigh dengan memecat Ketua Hakim Salleh Abas dan beberapa hakim yang tidak mengikut hala atau telunjuk politiknya.

4. Dalam krisis ekonomi matawang yang memuncak pada tahun 1998 , Mahathir mengambil kesempatan untuk memecat Timbalan Perdana Menterinya, Anwar Ibrahim dengan menuduh beliau sebagai pengamal seks di luar tabii.

Ini telah memuncak dengan pergerakkan “Reformasi” yang menuduh Mahathir sebagai seorang pemimpin yang boros, suka pada projek-projek mega serta pengamal kronisme dan rasuah yang berleluasa.

Penentangan Anwar terhadap pemerintahan Mahathir melibatkan demonstrasi jalanan secara besar-besaran yang telah melumpuhkan jentera pentadbiran serta pertembungan polis dengan orang awam.

Ramai penyokong dan pemimpin Anwar termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ketua Pemuda Umno pada masa itu, telah ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyebabkan penderitaan ramai.

Mahathir telah dijenamakan sebagai MahaZalim, MahaFiraun dan sastrawan negara Shahnon Ahmad telah menulis sebuah novel bertajuk “SHIT” atau najis untuk menjijikan dan mencemuh pemerintahan kuku besi Mahathir.

Setelah itu Mahathir telah berjaya menjatuhkan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri dengan senang sekali.

Hari ini, dalam kegawatan politik dan ekonomi, Mahathir sekali lagi cuba menunjukkan taring politiknya untuk menjatuhkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Percaturan demi percaturan yang melibatkan kelicikan politik yang merugikan rakyat dan negara telah berterusan dan akhirnya Pakatan Rakyat dipakejkan menjadi Pakatan Harapan.

Tiba -tiba Mahathir Mohamad yang merupakan pemimpin negara yang paling dibenci dan digeruni menjadi pilihan Harapan untuk menyelamatkan negara.

Harapan negara sekali lagi diletak pada tangan Mahathir Mohamad dengan direstui musuh ketat beliau Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dari DAP.

Tiba-tiba MahaZalim menjadi MahaAlim….

Ti Lian Ker adalah jurucakap MCA dan juga Ketua Biro Keharmonian Agama parti itu

Comments

comments