Perlu adanya seorang pakar yang amat memahami keadaan pertanian di Cameron Highlands dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara

Oleh Chiong Yoke Kong

KOMEN

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB Salahuddin Ayub atas pelantikan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diamanahkan kepada YB merupakan kementerian yang sangat strategik bagi mentransformasi sektor pertanian Malaysia supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif.

Saya mengalu-alukan penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara yang berfungsi untuk menjana idea dan meningkatkan produktiviti industri pertanian dalam negara.

Dalam kesempatan ini, saya sebagai Adun Tanah Rata dari Cameron Highlands ingin melontarkan sedikit pandangan kepada YB sebagai input yang boleh dipertimbangkan bagi membina visi Majlis Perunding Pertanian Negara dan membangunkan Cameron Highlands kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia.

Cameron Highlands yang berbukit di Banjaran Titiwangsa digunakan untuk ladang teh sejak zaman British dan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan secara kecil-kecilan sebelum tahun 1960-an. Sekarang Cameron Highlands sudah menjadi sebagai pusat pelancongan dan penanaman tanah tinggi yang popular di negara ini.

Kebanyakan tanaman di sini adalah untuk pasaran tempatan dan sebahagiannya lagi untuk pasaran eksport seperti ke Singapura, Jepun, Thailand, Korea Selatan Hong Kong, Taiwan dan sebagainya.

Guna tanah untuk tujuan pertanian di Daerah Cameron Highlands adalah 7508.28 hektar ataupun 10.54% daripada keseluruhan keluasan daerah. Selain itu, 47.6% guna tenaga di daerah CH adalah terlibat dalam industri pertanian.

Nilai pengeluaran tanaman telah mencatatkan sebanyak RM2,945,645 juta. Inilah menyumbangkan banyak kepada ekonomi Malaysia dan menjadikan Cameron Highlands sebagai sebuah pusat pengeluaran tanaman di Malaysia.

Namun begitu, perancangan guna tanah yang amat teruk di bawah pentadbiran Barisan Nasional sejak kemerdekaan Malaysia telahpun membawa pelbagai masalah buruk kepada pekebun dan alam sekitar Cameron Highlands.

Kebanyakan pekebun di Cameron Highlands diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk mengusahakan aktiviti pertanian.

LPS merupakan lesen guna tanah yang tidak terjamin dan mempunyai banyak sekatan dalam pembangunan industri pertanian. Hal sedemikian sebenarnya merupakan punca utama berlakunya amalan aktiviti pertanian yang tidak mampan dan mendatangkan pelbagai kesan buruk untuk alam sekitar.

Di samping itu, pekebun-pekebun di Cameron Highlands juga tidak diberikan bantuan oleh pihak kerajaan dalam sebarang aspek seperti pemberian insentif untuk baja, racun serangga, bekalan air, benih tanaman, bantuan teknikal dan urus-tadbir yang efektif.

Satu pengurusan dan pembangunan pertanian yang mampan dan inklusif perlu dirancangkan untuk pekebun-pekebun di Cameron Highlands, termasuk perlu adanya rancangan penyusunan semula dan pemberian tanah pertanian, pengurusan bekalan air pengairan yang mampan untuk pertanian, sistem pertanian secara sistematik, kemudahan asas dan insentif untuk pekerja-pekerja pertanian, pengambilan pekerja asing, amalan baik pertanian, pensijilan kualiti pertanian dan urus-tadbir guna tanah yang efektif.

Memandangkan Cameron Highlands merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara dari segi pertanian, saya bercadang bahawa perlu adanya seorang pakar yang amat memahami keadaan pertanian di Cameron Highlands dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara yang akan ditubuhkan pada hari Isnin.

Saya berharap agar YB boleh menimbang dan memberi perhatian sewajarnya kepada permasalahan pertanian di Cameron Highlands.

Akhirnya semoga YB dipermudahkan segala urusan dan ditunaikan segala hajat dalam menjayakan amanah sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Chiong Yoke Kong adalah Adun Tanah Rata

Comments

comments