Astro Malaysia Holding Bhd Chairman Tun Dato' Seri Zaki Bin Tun Azmi during a speech at the Astro Malaysia Holdings Bhd Prospectus Launch at the Shangrila Hotel Kuala Lumpur
Tanggungjawab untuk tidak menyertai politik perlu diaplikasikan kepada mereka yang berada di dalam GLC

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara Zaki Azmi mahu Peraturan-Peraturan  Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dipinda bagi memperketatkan peraturan berhubung pembabitan penjawat awam dan kakitangan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam politik.

Katanya pada ketika ini penjawat awam tidak benar-benar dilarang daripada menyertai parti politik dengan mereka yang berada di bawah pangkat tertentu dibenarkan memegang jawatan sehingga ke tahap tertentu manakala tidak bagi yang berada di atas jawatan tertentu.

Katanya tanggungjawab untuk tidak menyertai politik tidak juga diaplikasikan kepada mereka yang berada di dalam GLC dan dengan kebebasan ini sering mendorong kakitangan di GLC untuk mengambil bahagian secara tidak langsung dalam politik yang berat sebelah.

“Saya ingin mencadangkan agar semua penjawat awam dilarang malah untuk mendaftar sebagai anggota mana-mana parti politik. Jika dia ingin berbuat demikian, dia harus meletak jawatan sebagai penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaki mengulas laporan media baru-baru ini mengenai teguran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap pegawai kanan kerajaan yang terlalu ghairah menyokong bekas kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum  lepas.

Zaki berkata satu Kod Etika Politik yang baharu perlu digariskan dan mungkin, sebuah Suruhanjaya harus ditubuhkan untuk mengkaji semula peraturan dan amalan sektor awam yang menghalang meritokrasi, kerajaan bersih, multirasialisme, pembangunan inklusif dan perkembangan ekonomi.

“Penjawat awam mesti setia kepada kerajaan baharu dan melaksanakan dasarnya dan jika mereka mempunyai masalah untuk mematuhinya, mereka harus meletak jawatan. Mereka mesti membezakan kesetiaan kepada parti politik dan kepada kerajaan,” katanya.

Zaki yang merupakan penjawat awam selama 15 tahun berkata penjawat awam kekurangan etos sedemikian mungkin kerana pemerintahan selama 61 tahun tanpa gangguan oleh parti yang sama di peringkat persekutuan.

“Setelah berada di bawah gabungan kerajaan yang sama sekian lama, mungkin kakitangan awam telah hilang pemahaman tentang bagaimana mereka sepatutnya bertindak, terutama di kalangan yang lebih muda,”  katanya.

Beliau  berkata penjawat awam harus mematuhi kehendak politik yang sah bagi siapa sahaja yang memegang kuasa dan berkhidmat kepada kerajaan daripada mana-mana parti dengan tahap komitmen yang sama namun pada masa yang sama, mereka mesti mempamerkan politik yang tidak berat sebelah.

“Mereka tidak boleh berkempen untuk atau menentang sesebuah  parti politik. Mereka mesti bertindak demi kepentingan kerajaan,” katanya.

Zaki selanjutnya berkata keberkecualian penjawat awam bukan sahaja ke atas kakitangan awam tetapi juga terhadap menteri.

Katanya para menteri perlu menyatakan matlamat dan strategi yang jelas untuk kementerian dan menyediakan garis panduan kepada penjawat awam untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Malangnya, kadang-kadang dasar tidak dinyatakan  dengan jelas. Pada masa sama, pemimpin politik mesti melindungi kakitangan awam daripada gangguan politik dan tidak melibatkan mereka dalam kegiatan atau perdebatan politik,” katanya.

Zaki berkata politik adalah dunia menteri, dasar adalah bidang tugas penjawat awam.

Comments

comments