MB Selangor agak ‘lembut’ dalam menangani kemelut agihan kerusi DUN yang bakal ditandingi Pakatan Harapan di Selangor

KOMEN

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipanggil dalam masa terdekat namun jelas Pakatan Harapan di negeri Selangor masih terkapai-kapai mencari kata putus dalam isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selangor merupakan negeri cepumas memandangkan ia mempunyai kekuatan ekonomi yang tertinggi di Malaysia di samping potensi untuk terus berkembang dalam pelbagai industri lain.

Pada PRU14 nanti, sudah tentu jentera Barisan Nasional (BN) akan turun padang bagaikan badai untuk menumpaskan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Soalnya, adakah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sudah bersiap raga untuk ‘berperang’ dengan BN?

Jika diteliti rapi khabar-khabar yang diwarta atau sebaliknya, rata-rata boleh dispekulasi bahawa Azmin semakin hari semakin tertekan untuk memformulasi percaturan calon-calon yang mantap untuk bertanding kerusi DUN negeri Selangor.

Malah saban hari kenyataan-kenyataan yang dibuat Azmin kepada media tidak selari dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan yang turut tidak lagi senada dengan halatuju menteri besar tersebut.

Tatkala PAS meninggalkan gagasan Pakatan Rakyat (PR), Azmin berdegil untuk tidak bertindak terhadap ahli-ahli PAS yang berada dalam kerajaan Selangor, besar kemungkinan kerana gusar ia akan menggugatkan kestabilan kerajaan negeri.

Malangnya, perkiraan Azmin tidak disenangi anggota-anggota Pakatan Harapan iaitu DAP, Amanah dan PPBM.

Azmin seolah dihujani durian runtuh semasa ‘Langkah Kajang’ dan amat terhutang budi kepada PAS yang telah menyokong kuat perlantikannya sebagai MB.

Tetapi lanskap politik di Selangor sudah banyak berubah sejak perpisahan PAS dari PR pada peringkat nasional.

PR yang sudah terkubur diganti Pakatan Harapan (dengan kemasukan PPBM dan Amanah, yang dianggotai bekas pemimpin PAS).

Secara logik, Azmin seharusnya akur dengan telunjuk Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad untuk tidak ‘bersahabat’ dengan PAS.

Tekanan bertubi-tubi dari Amanah, DAP dan PPBM untuk diberi peluang yang saksama bertanding kerusi DUN di Selangor sudah tentu akan merimaskan Azmin kerana kemungkinan besar dia tidak akan berpeluang menjadi MB sekali lagi sekiranya Pakatan Harapan menang di Selangor.

Azmin seharusnya lebih proaktif dan harus membuat keputusan yang berani dalam menangani isu pengagihan kerusi.

Sikap Azmin yang kelihatan reaktif terhadap ‘serangan’ dari DAP, PPBM dan Amanah seolah-olah menonjolkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak berani mengambil risiko.

Kedudukan Azmin sehingga hari ini sebagai MB terselamat walaupun PR terkubur, hanyalah disebabkan PAS Selangor tetap bersamanya.

Walau bagaimanapun, dengan pelbagai tuduhan rasuah dilemparkan terhadap Azmin, ada juga kemungkinan tipis beliau kalah kerusi DUN dan Parlimen sekaligus dalam PRU14 nanti.

Ini tidak mustahil terjadi dalam kancah politik Malaysia.

Kini Azmin bukan sahaja dihimpit dari dalam partinya oleh puak yang tidak sehala dengannya tetapi juga dari pihak BN.

Jika perselisihan dalam Pakatan Harapan Selangor berkenaan agihan kerusi DUN yang akan ditandingi tidak ditangani dengan secepat mungkin, tidak hairanlah jika Azmin akan dijadikan ‘kambing hitam’ Pakatan Harapan di peringkat nasional nanti.

Posisi Azmin dalam barisan hadapan Pakatan Harapan bagaikan telur di hujung tanduk.

Comments

comments