Sesetengahnya memerlukan pindaan kerana ia melibatkan badan kehakiman, pengasingan kuasa, pengagihan ekonomi dan sebagainya

KOTA KINABALU: Pindaan mungkin perlu dibuat terhadap akta dan perkara tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan urusan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963, berjalan lancar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan hari ini.

Sambil menegaskan proses berkenaan akan mengambil masa, beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang tekun menguruskan perkara itu.

“Kami perlu teliti. Sesetengahnya memerlukan pindaan kerana ia melibatkan badan kehakiman, pengasingan kuasa, pengagihan ekonomi dan sebagainya.

“Sebenarnya, kira-kira dua minggu lepas, saya terima sepucuk surat daripada Jabatan Peguam Negara supaya dibawa kepada Kabinet beberapa peruntukan yang perlu diubah,” katanya  kepada pemberita selepas merasmikan Festival Ang Pow di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Good Shepherd di sini.

Abdul Rahman berkata Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan sentiasa komited dan menghormati hak rakyat di Sabah dan Sarawak.

Pada majlis itu, Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM2.9 juta bagi pembinaan bangunan baharu SJKC Good Shepherd bagi memberi ruang kepada Gereja Katolik Good Shephard bersebelahannya diperbesarkan.

Menurut guru besar sekolah itu, Tan Lee Lee, keadaan sekolah berkenaan yang sudah berusia 90 tahun, kini semakin uzur dan tidak mengizinkan pelajar untuk mengikut pelajaran dalam keadaan selesa.

“Sejak 10 tahun  lepas, kami telah mengumpul kira-kira RM5 juta daripada masyarakat setempat dan melalui bantuan kerajaan, tetapi masih kekurangan RM2.9 juta.

“Kini, kami boleh jadikan impian kami untuk mempunyai sebuah sekolah baharu suatu kenyataan dan kami menjangka, bangunan baharu itu nanti mampu menampung tambahan 20 atau 30 peratus kepada jumlah pelajar sekarang,” katanya, sambil menjelaskan bahawa sekolah itu kini mempunyai 432 pelajar.

Tapak baharu seluas satu hektar itu, yang  terletak di Kampung Rampayan, kira-kira 500 meter dari lokasi sedia dan berukuran dua kali lebih besar daripada yang ada sekarang, diberi kerajaan negeri.

Comments

comments