Umno sebagai pelindung Melayu dan penjaga agama diambil alih oleh Raja-raja menyebabkan Umno semakin tidak relevan

KOMEN

LAPORAN eksklusif wawancara antara sidang pengarang akhbar The Star bersama Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah cukup menarik.

Dalam laporan itu, Baginda Sultan Selangor bertitah mengenai isu semasa, khususnya polemik politik melanda negara termasuk label lanun Bugis yang diucapkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Baginda juga bertitah menyuarakan kebimbangan akan polarisasi agama dan kaum yang semakin menebal dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sultan Sharafuddin mendedahkan ia adalah perkara yang cukup dibimbangi sambil memberi amaran kepada politikus supaya tidak bermain ‘api’.

Penulis membaca titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sambil tersenyum dan merasa lega yang amat dengan kebijaksanaan baginda.

Pada hemat penulis, Tuanku Sultan telah merenggut retorik politik orang Umno pada perhimpunan agungnya yang sedang berlangsung kini.

Mengapa? Tuanku Sultan Selangor secara terang-terangan memberitahu, diri baginda bersama Raja dan Pembesar Memerintah adalah pelindung sebenar orang Melayu, rakyat Malaysia dan negara ini.

Mesej Tuanku Sultan Selangor juga ialah bahawa mereka adalah ketua agama Islam dan bertanggungjawab terhadap segala hal ehwal agama Islam.

Bukan Umno, bukan PAS, bukan Amanah, bukan PKR, bukan DAP dan bukan Dr Zamihan Md Zin. Tidak lama selepas itu, pemimpin MCA, Ti Lian Ker mengeluarkan kenyataan mengiakan kebesaran Raja-raja.

Melayu hebat dan besar kerana adanya ketuanan Melayu yang terletak pada kedaulatan Raja-raja dan Pembesar Memerintah.

Lian Ker jelas menolak kebobrokan dan ‘perasan hebat’ orang Umno, PAS, Isma, Perkasa dan lain-lain pejuang Melayu yang meletakkan diri mereka ‘lebih’ daripada Raja-raja dan Pembesar Memerintah.

Yang bercakap itu Pemimpin Cina Malaysia di Pahang, namun hakikatnya terlalu benar dan pahit ditelan Umno, apalagi ketika ini Perhimpunan Agung Umno sedang berlangsung.

Naratif Umno ketika ini bahawa Cina cauvinis atau DAP sedang mengawal orang Melayu dan Malaysia hanya memakan diri.

Takkan orang Melayu, terutama Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Pembesar Memerintah berdiam diri sahaja? Apa mereka ini patungkah?

Pada penulis, Perhimpunan Agung Umno kali ini malang kerana pada mutakhir ini, Raja-raja bertindak dan campur tangan dalam banyak isu berbangkit, khususnya membabitkan Islam dan Melayu.

Peranan Umno sebagai pelindung dan penjaga agama telah pun diambil alih oleh Raja-raja menyebabkan Umno semakin tidak relevan.

Benar kata orang kampung di kedai kopi di Kuala Langat, Selangor. “Umno sekarang sudah tak macam dulu. Tak boleh harap. Raja-raja sahajalah yang boleh bantu kita.”

Comments

comments