Gambar jelas menunjukkan bahawa sekolah tersebut menyediakan cawan asing bagi murid berlainan agama

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Penafian oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat berkenaan isu sebuah sekolah kebangsaan menggunakan cawan asing bagi pelajar Muslim dan bukan Muslim didapati tidak benar selepas sebuah portal mendedahkan bahawa sekolah tersebut memang mengamalkan polisi tersebut sejak tahun lalu.

Memetik laporan portal tersebut, yang melawat ke sekolah tersebut pagi ini, mendedahkan bahawa kantin sekolah menyediakan cawan asing bagi murid Muslim dan bukan Muslim seperti yang ditularkan di media sosial.

Ini jelas menunjukkan sekolah tersebut menggunakan cawan asing kepada murid yang berlainan agama.

Terdahulu, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MIC, Ganesan Seerangam memberitahu Berita Daily bahawa PPD Hulu Langat menafikan kepadanya bahawa sekolah tersebut tidak pernah mengamalkan polisi sedemikian.

Katanya, beliau semalam menghantar satu e-mel rasmi kepada PPD Hulu Langat untuk mengetahui ketulenan gambar-gambar tersebut.

“Bagaimanapun, PPD mengesahkan bahawa sekolah tersebut menafikan tindakan sedemikian,,” jelas beliau sambil menambah PPD berjanji akan membuat satu siasatan penuh dengan pihak sekolah termasuk penguasaha kantin dan pihak yang menularkan gambar-gambar tersebut.

Namun, gambar yang diambil oleh portal itu jelas menunjukkan bahawa sekolah tersebut menyediakan cawan asing bagi murid berlainan agama.

Pihak sekolah turut enggan memberi kenyataan berkenaan isu ini.

Bagaimanapun, seorang pekerja kantin yang enggan mendedahkan identiti dipetik berkata sebagai polisi tersebut diamalkan sejak tahun lalu.

Seorang ibu bernama Madhavi terkejut dengan polisi tersebut manakala pengendali bas Chitra Devi, menegas polisi sedemikian perlu dihentikan murid dari semua kaum makan bermain bersama.

Dalam pada itu, aktivis Badrul Hisham Shaharin membangkit soalan apakah keperluan mengadakan pengasingan tersebut.

“Persoalan lebih penting ialah kepada Ketua Biro Pendidikan MIC, PPD dan sekolah itu menipu ketika memberikan respon kepada sebuah laman portal berita,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

“Negara sedang dalam mood sambutan 60 tahun ulang tahun kemerdekaan, adakah pengasingan cawan di sekolah kebangsaan ini perlu? Juga kenapa parti politik dan penjawat awam (PPD dan Sekolah) perlu menipu dalam menangani perkara ini,” tambahnya.

Dalam satu perkembangan terbaru, Ganesan menafikan bahawa menipu dan berpihak kepada pihak sekolah.

“Saya hanya memberitahu apa yang diberitahu oleh pihak PPD kepada saya. Tidak tokoh tambah dan juga tidak menyembunyikan tindakan sekolah.”

“Mereka (PPD) kata akan membuat siasatan dalam masa 48 jam. Jadi, saya pun mengambil pendirian tunggu dan lihat. Kalau benar sekolah itu mengamalkan polisi tersebut maka saya memang marah dan akan menegaskan satu tindakan serius terhadap guru besar sekolah itu,” jelasnya kepada Berita Daily sebentar tadi.

Untuk rekod, semalam dua keping gambar bersama nama sekolah ditularkan di media sosial, mendakwa sebuah sekolah kebangsaan di daerah Hulu Langat menggunakan cawan asing bagi pelajar di sekolahnya.

Dalam gambar pertama, terdapat dua biji cawan, tertera pelekat berwarna biru dengan perkataan ‘Murid Bukan Muslim’, manakala dalam gambar kedua pula dengan perkataan ‘Murid Muslim’ yang berwarna jingga.

Comments

comments