Gerakan tidak lebih daripada rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) A Kadir Jasin berpendapat ramalan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat ramalan bahawa parti Gerakan bakal akan tawan Pulau Pinang sekadar angan-angan Mat Jenin.

Katanya, beliau tidak hairan dengan tindakan Zahid mengaitkan banjir di negeri itu dengan harapan Gerakan merampasnya kembali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang atas dua sebab.

“Pertama Umno/BN akan menggunakan apa saja untuk menaikkan semangat penyokong akar umbi BN yang sudah putus asa, kecuali apabila disogok dengan duit. Kedua kerana dia berpidato di Persidangan Agung Gerakan..”

“Saya tidak berani hendak kata ramalan dan rujukan Zahid kepada “petanda Tuhan” itu tepat atau tidak,” kata Kadir dalam satu tulisan terbaru di blognya.

Mengulas lanjut kenyataan, Zahid yang berkata banjir Pulau Pinang sebagai “petanda Tuhan” bahawa Gerakan boleh menawan balik negeri tersebut, Kadir berkata mungkin ketua Umno keturunan Jawa itu mewarisi sifat para wali dan kiyai Jawa yang dikatakan boleh membaca nasib dan mengetahui apa yang akan berlaku pada masa mendatang.

“Ikut cerita, banyak juga ketua-ketua politik dan orang kaya di negara kita yang percaya kepada kuasa tilikan dan ramalan para kiyai Jawa itu dan ada yang sering ke sana itu mencari tangkal azimat,” sindir beliau.

Beliau turut membangkit soalan bahawa kalau banjir Pulau Pinang adalah “petanda Tuhan” bahawa Gerakan akan kembali berkuasa di negeri itu, apa pula petanda banjir yang melanda negeri-negeri lain?

“Apakah PAS akan kalah di Kelantan kerana banjir besar melanda negeri itu pada tahun 2014 dan BN akan kalah di semua negeri perintahnya yang juga dilanda banjir, termasuk Putrajaya yang banjir pada 8 Mei 2016?” tanya beliau lagi.

“Berkenaan ramalan ala kiyai Jawa yang Zahid buat mengenai harapan kemenangan Gerakan di Pulau Pinang, ia membawa ingatan saya kembali ke zaman gemilang parti itu.”

Ujarnya, banyak orang mungkin tidak tahu atau sudah lupa sejarah Gerakan. Asas parti itu bermula pada akhir dekad 1960an akibat radikalisme MCA.

Apabila mendiang Lim Ching Eu menang tipis jawatan Presiden MCA pada tahun 1958 dengan mengalahkan mendiang Tan Cheng Lock, MCA berpecah dua.

“Perselisihan di antara Lim dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra meluas apabila menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 1959, Lim menuntut bertanding 40 kerusi Parlimen dan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi.”

Tunku yang memihak kepada Tan dalam pertandingan MCA menawarkan untuk menaikkan kerusi MCA daripada 28 kepada 31 tetapi ditolak oleh Lim.

Dia membantah dengan meletakkan jawatan Presiden MCA dan Dr Cheah Toon Lock dilantik menjadi Pemangku Presiden.

Lim merantau ke London dan hanya pulang beberapa tahun kemudian untuk menubuhkan United Democratic Party (UDP) pada tahun 1962. Dalam PRU 1964 UDP bertanding tetapi tidak berjaya.

Tunku mempersendakan UDP dengan menanggilnya parti “udang dalam parit”. Udang hidup di sungai dan laut. Jadi udang dalam parit adalah kecil dan rendah martabatnya.

“Kegagalan itu mengubah pendirian Lim. Daripada seorang radikal Cina, dia berubah menjadi seorang “Malaysian” dengan menaja parti berbilang kaum bersama tokoh-tokoh bangsa lain.”

Maka pada 24 Mac, 1968 tertubuhlah Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Singkatan awalnya Geram yang kemudian ditukar menjadi Gerakan. Antara penaja Gerakan adalah Almarhum (profesor) Syed Hussein Alatas, Mendiang Dr Tan Chee Khoon dan (profesor) Wang Gungwu.

“Lebih sedikit setahun selepas penubuhannya, Gerakan menang besar dalam PRU 1969 dengan mengalakkan Perikatan di Pulau Pinang dan serentak dengan itu menamatkan 12 tahun hegemoni MCA di Pulau Pinang dan seluruh Semenanjung.”

Bagaimanapun, peristiwa 13 Mei 1969 dan keikhlasan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menaja konsep kerajaan perpaduan nasional menyebabkan Gerakan, PAS dan beberapa buah parti pembangkang lain menyerytai kerajaan campuran dengan Perikatan, dan menjelang PRU 1974 bergabung menubuhkan BN.

“Ironinya, dengan menyertai BN, Gerakan sedikit demi sedikit bertukar daripada parti pelbagai kaum kepada parti yang didominasi oleh kaum Cina dan dengan itu menjadi saingan langsung kepada MCA dan DAP.”

DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 juga bermula sebagai parti berbilang kaum tetapi akhirnya menjadi parti majoriti kaum Cina.

Katanya, walaupun Gerakan membawa kemajuan dan mentranformasikan ekonomi Pulau Pinang namun ia hilang sinar dan hormat rakyat jelata tanpa ketua yang berwibawa dan kuat seperti Lim Chong Eu dan Lim Keng Yaik.

“Maka dalam PRU 2008 Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP,”jelas Kadir.

Tambahnya, sejak itu, Gerakan tidak lebih daripada rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu. Ia sudah menjadi lebih kurang macam PPP.

“Jadi adakah dengan dua orang ahli Dewan Rakyat dan tiga ahli Dewan Undangan Negeri, Gerakan mampu memacu ramalan Zahid untuk kembali berkuasa di Pulau Pinang?” soalnya.

Kalau Umno sendiri dalam keraguan dan hanya berani bercakap besar di hadapan khalayak yang diupah maka adalah mustahil bagi parti-parti kelas dua macam Gerakan membuat sebarang kejutan seperti merampas semula Pulau Pinang.

“Ia tidak lebih daripada kata-kata manis buat perwakilan Gerakan atau sekadar angan-angan Mat Jenin,”  tegas Kadir.

Comments

comments