‘Kami tidak undi PKR, tetapi Pakatan Harapan,’ kata netizen

KOMEN

KENYATAAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa PKR akan mendapat lebih banyak jawatan di kabinet Pakatan Harapan telah membangkitkan soalan; adakah PKR mula berlagak seperti Umno semasa era Barisan Nasional (BN).

Secara umum, ramai netizen dan pengguna media sosial tidak setuju dengan pendirian PKR, bahawa parti tersebut berhak mendapat lebih banyak jawatan menteri berbanding DAP, Amanah dan PPBM kerana memenangi kerusi parlimen paling banyak pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), berbanding tiga parti komponen yang lain.

Walaupun tidak diumumkan secara terbuka, namun kenyataan daripada pemimpin PKR khususnya Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) dan Wong Chen (Ahli Parlimen Subang) secara tidak langung memberi tekanan ke atas Mahathir untuk memberikan lebih banyak jawatan menteri di kabinet.

Rata-rata, netizen yang tidak bersetuju dengan pendirian PKR menggesa pemimpin-pemimpin parti itu supaya bersikap lebih profesional dan mengamalkan semangat permuafakatan.

“Kami tidak undi PKR, tetapi Pakatan Harapan. Tidak adil bagi PKR bermegah memenangi lebih parlimen berbanding Amanah dan PPBM, sedangkan kerusi-kerusi yang ditandingi PKR dikawasan bandar.”

Ini adalah beberapa pandangan pedas daripada netizen terhadap PKR.

Malah, ada yang kata, PKR sudah mula berlagak seperti Umno yang sering mengugut dan tidak menghormati pandangan parti-parti lain dalam BN.

“Jangan bawa tradisi Umno ke Pakatan,” gesa beberapa netizen kepada PKR.

Ada juga yang menyoal PKR, di manakah kesalahan Mahathir yang melantik empat anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk empat jawatan tertinggi kerajaan.

Selain Mahathir, empat anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Mohamed Sabu (Presiden Amanah), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR).

Untuk rekod, Pakatan Harapan masih belum selesai melantik jemaah menteri selepas dikatakan PKR tidak setuju dengan pendapat parti-parti lain.

Malah, sebuah akhbar Singapura turut mendakwa bahawa Dr Wan Azizah ada menuntut agar jawatan penting dalam kabinet diberi kepada PKR, termasuk jawatan menteri kewangan, yang kini disandang oleh Lim Guan Eng.

Nampaknya, PKR sudah mula mengorak langkah untuk mendominasi kerajaan Pakatan Harapan.

Pada PRU14, PKR memenangi 49 kerusi parlimen diikuti DAP 42, PPBM 12 dan Amanah 11.

Manakala di Sabah, Parti Warisan menang di sembilan kerusi parlimen.

Comments

comments