Islam akan lebih dihormati kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak

KUALA LUMPUR: Pindaan yang dinyatakan dalam RUU 164 tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian kata Dr Noor Aziah Awal, Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika menjawab kekeliruan PAS yang menegaskan RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan ianya bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Dr Noor yang juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), pindaan RUU164 jelas tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan itu sendiri.

“Jelasnya jika pindaan ini tidak dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubar perkahwinan bukan Islamnya kerana Seksyen 51 yang lama hanya membenarkan permohonan bagi pasangan yang tidak memeluk Islam.”

“Manakala pasangan yang telah memeluk Islam pula tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana enakmen tiada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pembubaran perkahwinan bukan Islam atau hadanah anak dari perkahwinan bukan Islam. Pindaan 121(1A) jelas memisahkan bidang kuasa kedua Mahkamah Sivil dan Syariah,” kata beliau.

Dr Noor turut menafikan kebimbangan PAS bahawa RUU164 akan membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini.

“PAS mungkin kurang faham Akta 164. Kenyataan tersebut jelas menyimpang dengan maksud Akta 164. Akta ini hanya terpakai kepada orang bukan Islam (yang telah berkahwin di bawah Akta 164).”

“Isu timbul bila salah seorang pasangan memeluk Islam yang mana Akta ini tidak boleh digunapakai untuk mereka yang beragama Islam. Implikasinya adalah perkahwinannya terdahulu tergantung atau “limping marriages”. Namun pindaan ini menyelesaikan isu ini. Pasangan yang telah masuk Islam boleh memohon cerai di bawah Akta ini kerana sudah wujud bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadapnya,” jelasnya.

“Uniknya tanggungjawab sebelum dia memeluk Islam tidak berubah dengan pengislamannya. Malah dia masih wajib menyara anak-anak bukan Islamnya. Perkahwinan bukan Islam adalah merupakan kontrak dan pertukaran agama tidak melupuskan tanggungjawab kontraknya. Keunikan ini menzahirkan lagi prinsip keadilan dalam Islam,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, PAS merakamkan perasaan kecewa dengan Pindaan RUU164 dalam satu artikel bertajuk “RUU164 : Tragedi malang buat umat Islam di negara ini”.

Menurut parti Islam itu, Akta ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. PAS turut mendakwa hak umat Islam akan terlucut hasil RUU ini.

Bagaimanapun, Dr Noor menyangkal dakwaan ini dengan katanya memeluk Islam tidak melupuskan tanggungjawab sebelum menjadi Islam.

“Pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 ini hakikatnya memberi ruang kepada pihak yang telah memeluk Islam untuk menuntut hadanah, harta dan nafkah hasil dari perkahwinan dengan bukan Islam. Sebelum pindaan mualaf tidak boleh buat apa-apa dan ternafi haknya hanya kerana telah memeluk Islam.”

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta 164 tiada kena mengena dengan isu status agama anak.

Ia hanya memberi jalan keluar kepada Mualaf untuk meneruskan kehidupannya di masa akan datang jika pasangan bukan Islam tidak mahu memeluk Islam.

“Tiada tragedi yang berlaku malah satu kebaikan atau hikmah dan sinar baru kepada sistem keadilan Islam di negara ini. Almarhum Ahmad Ibrahim, arkitek Sistem Perundangan Syariah Negara telah mengusulkan pindaan ini sejak 1986 lagi,” tambah beliau lagi sambil turut memuji barisan kepimpinan BN untuk meminda Akta 164 kelmarin.

“Islam akan lebih dihormati kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak. Ia juga memberikan isyarat kepada semua agar tidak menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.”

“Yang paling utama juga membawa mesej penting bahawa memeluk Islam Islam tidak sesekali memutuskan hubungan ayah /ibu dengan anak masing-masing,” tegasnya.

Comments

comments