Saya memaafkan mereka semua kerana mereka manusia biasa yang terbawa-bawa dengan perasaan yang terlalu menebal

Oleh Rafizi Ramli

DALAM bidang kerja saya, memang menjadi kebiasaan saya dimaki hamun, dicaci dan sebagainya. Saya selalunya tidak ambil kisah sangat dan tidak ada kesan pun kepada saya. Saya membaca seberapa banyak komen tetapi tidaklah begitu terkesan.

Jika jelas komen-komen yang dibuat mengandungi unsur lucah, menghina yang terlampau atau ia cybertrooper yang tidak berminat pun untuk mendengar semua pandangan (walaupun keputusan itu hak masing-masing), ada masanya komen sebegitu dibuang atau cybertrooper itu di-block kerana mereka hanya berminat untuk menimbulkan kemarahan dengan kata-kata kesat atau keterlaluan.

Namun sebahagian besarnya saya tidak ambil peduli sangat komen-komen yang bagi orang kebanyakan bunyinya kesat.

Berikut ialah petua menangani pembenci (“haters”) supaya hidup kita tidak terkesan dengan cacian orang lain yang kita tidak kenal dan dia pun tidak kenali.

* Pembenci itu penyokong kuat Umno yang mengeluarkan kata-kata kesat.

Tiada manfaatnya memarahi atau cuba meyakinkan orang ini mengenai kepincangan dalam negara yang menyebabkan kita membangkang Umno/Barisan Nasional. Cara terbaik ialah melawak dengan orang macam ini.

* Pembenci itu penyokong kuat PAS yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak tepat kebenarannya sehingga cenderong ke arah memfitnah orang lain.

Ada baiknya diperbetulkan salah sangka dengan menyatakan kembali perkara-perkara sebenar supaya pembenci itu tidak mengulangi atau menyebarkan kenyataan-kenyataan yang cenderong kepada fitnah untuk membantunya menjauhi dosa.

Saya tidak terkejut apabila perkara-perkara di atas memang sengaja diada-adakan oleh musuh politik saya yang tidak senang dengan pendedahan saya dan tumpuan saya kepada kes-kes penyelewengan.

Tetapi malanglah kalau jika hanya perbezaan parti menyebabkan kita tidak berhati-hati menyemak terlebih dahulu sehingga kita menuduh sesuatu (seperti Ariff Ramlan di atas) yang cenderong kepada fitnah.

Sebab itu dalam kes penyokong PAS, tuduhan kononnya saya suka menokok tambah itu tidak betul. Saya yakin dia tahu dosa pahala kerana dia penyokong kuat PAS.

Jadi cara menangani pembenci sebegini ialah dengan menyatakan perkara dan fakta yang sebenar, moga-moga dia terdetik untuk tidak mengulanginya lagi.

Akan tetap ada yang terus mengulangi perkara-perkara yang cenderong kepada fitnah walaupun telah diberikan maklumat yang tepat.

Petua untuk menangani pembenci sebegini ialah dengan menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT untuk diselesaikan, saya memaafkan mereka semua kerana mereka manusia biasa yang terbawa-bawa dengan perasaan yang terlalu menebal.

Penulis adalah ahli parlimen Pandan

Comments

comments