PDRM sudah tidak lagi bersih sejak kepimpinan Najib Razak, kata Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR: Pengerusi MyWatch Malaysia R Sri Sanjeevan menggesa Menteri Dalam Negeri yang baru, Muhyiddin Yasin melakukan “reform” dengan kadar segera terhadap institusi PDRM.

Sanjeevan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata tindakan itu perlu kerana ianya telah dicemari elemen kurang menyenangkan sejak di bawah pemerintahan PM terdahulu, Najib Razak.

“Di bawah pemerintahan DS Najib, PDRM dijadikan alat politik bagi “mengenakan” seseorang yang bertindak berlawanan dengan kemahuan pemerintah Barisan Nasional.”

“Akibat sering mengikut telunjuk pemerintah, Tan Sri Fuzi Harun (ketua polis) seakan terlupa untuk menjadikan PDRM sebuah institusi yang hebat lagi dihormati. Disebabkan ini jugalah banyak kes penting dan berprofil tinggi yang dilaporkan terhadap pihak berpengaruh gagal diambil tindakan,” kata beliau.

Memetik antara isu penting, Sanjeevan berkata isu kes Gopi yang melibatkan pegawai kanan polis bagi melindungi empayar pusat judi harus disiasat dengan lebih teliti.

“Sarawak Report melaporkan bahawa Gopi sering menelefon bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dan beliau sendiri di mahkamah mengakui mengenali Gopi.”

“Tidak terkecuali juga bekas Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Bukit Aman, Datuk Roslee Chik juga harus disiasat,”

Sanjeevan menambah bahawa senarai nama pegawai yang menerima suapan dari Gopi amat panjang dan majoritinya adalah daripada polis cawangan D7 Bukit Aman.

“Kegagalan Datuk Roslee Chik mengambil tindakan terhadap anak buahnya ini menimbulkan banyak persoalan,” ujar Sanjeevan.

Sanjeevan menyarankan agar Muhyiddin menyiasat 3 pegawai kanan polis Bukit Aman jika mahu dilihat serius berbanding kerjaan terdahulu.

“Tiga individu yang saya sebutkan harus disiasat jika serius mahu membuktikan kepada rakyat yang Kerajaan Pakatan Harapan tidak sama dengan kerajaan terdahulu. Semoga Tan Sri Muhyiddin diberi kekuatan dan keberanian dalam menjadikan institusi PDRM bersinar kembali,” kata Sanjeevan.

Comments

comments