Meskipun, Pindaan Akta 164 telah diluluskan di Parlimen Malaysia pada 9 Ogos 2017 yang lalu, pertikaian terhadap beberapa perkara masih berlarutan

KUALA LUMPUR: PAS bakal akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik Pindaan Akta 164, agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan oleh PAS dan pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan.

Demikian kata, Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat yang mengesahkan bahawa parti Islam itu akan mengambil beberapa langkah dan inisiatif bagi menangani situasi pertikaian dan perselisihan yang masih wujud.

“Meskipun, Pindaan Akta 164 telah diluluskan di Parlimen Malaysia pada 9 Ogos 2017 yang lalu, pertikaian terhadap beberapa perkara masih berlarutan.”

“Namun, terlebih dahulu saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan PAS, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan Amanah,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS juga akan mengangkat beberapa cadangan terhadap pindaan Akta 164 kepada pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman sebelum ia dibawa ke Dewan Negara demi menjaga kemaslahatan agama dan ummatnya.

“Pertemuan dengan Menteri akan diatur dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, berikutan langkah kerajaan yang telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS), PAS menyarankan supaya Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah boleh dijadikan platform yang tuntas untuk membincangkan semula isu berbangkit dari Pindaan Akta 164 agar hak Islam sebagai agama negara terpelihara dan polemik antara agama dan kaum dapat diharmonikan.

“Keanggotaan kluster ini boleh dilibatkan semua stakeholder dan pihak yang berkepentingan.”

“PAS juga akan menganjurkan Muzakarah Perundangan dalam masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan, NGO Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan daripada Pindaan Akta 164 ke atas ummat Islam dan rakyat keseluruhannya,” ujar Nasrudin.

Comments

comments