Ada kemungkinan besar pengundi bukan Melayu akan menolak gabungan PAS-Umno/BN secara besar-besaran pada PRU14 nanti

KOMEN

Tak habis-habis PAS dengan kelakarnya. Dahlah mereka berangan-angan nak ke Putrajaya, kini pula mereka sibuk cari orang yang berpakaian ketat dan seluar pendek.

Tak masuk akal langsung apabila seorang lelaki disaman kerana berseluar pendek untuk bermain futsal. Adakah dia begitu seksi sehingga dianggap akan menjolok mata wanita atau lelaki lain yang berhampiran?

Tindakan menyaman atau memaksa beliau untuk menghadiri sesi kaunseling jelas memperlihatkan halatuju bagaimana PAS akan mengurus dan mentadbir negara ini jika ia menang dalam Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU14).

Jika kerajaan negeri dan agensi-agensi tempatan Kelantan diurus-tadbir sedemikian, adakah Putrajaya akan turut akur dengan kehendak PAS sekiranya ia menjadi ‘sahabat’ dengan BN di tahap kerajaan pusat kelak?

Walaupun PAS bermati-matian mengatakan bahawa ia tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan BN, namun ia berkeras dengan pendiriannya untuk berganding bahu dalam soal mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu dengan Umno.

Mungkin ada logik dalam perbahasan mereka dari satu sudut, tetapi malangnya PAS mungkin terlepas pandang akan tentangan yang mereka akan hadapi dari parti-parti bukan Melayu/Islam dalam BN dan luar BN.

Apakah yang membuat PAS begitu yakin bahawa ideologi yang dipegang teguh oleh PAS akan diterimapakai oleh parti-parti lain dalam BN?

Adakah PAS akan diberi peranan yang lebih signifikan oleh Umno di tahap kerajaan pusat jika ia berjaya bekerjasama dengan Umno?

Umno pula pada keseluruhannya tidak begitu yakin dengan MIC dan MCA untuk mendapat majoriti yang selesa dalam parlimen.

Keputusan kedua-dua PRU yang lepas boleh diangggap sebagai indikasi bahawa BN mengambil risiko yang tinggi jika memberi terlalu banyak kerusi kepada MIC dan MCA untuk bertanding – baik di peringkat parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memandangkan PAS ada harapan yang lebih meyakinkan untuk meraih lebih kerusi, tidaklah salah jika Umno memberi kepentingan kepada PAS sebagai rakan seperjuangan.

Percaturan ini membawa faedah berlipat-ganda berbanding mengharapkan parti seperti MIC dan MCA.

Suara-suara lantang dalam Umno telah pun mula mengatakan bahawa MIC dan MCA hanya boleh menang jika undi Melayu memihak pada mereka.

Jika sedemikian, bukankah lebih rasional jika kerusi-kerusi MIC dan MCA ini ditanding sahaja oleh PAS atau Umno? Mengapa pula BN harus memperjudikan kerusi-kerusi tersebut?

Namun, adakah persefahaman antara PAS dam Umno ini direstui oleh parti-parti BN dari Sabah dan Sarawak yang tidak begitu selesa dengan hukum-hukum Islam yang diutarakan oleh PAS?

Jangan pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Jika Umno dan BN tersilap hitung, padahnya agak berat.

Comments

comments