Hari Deepavali jatuh pada tarikh 18 Oktober, iaitu hari Rabu. Terdapat permintaan agar 19 Oktober dijadikan cuti umum
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan menyatakan sokongan terhadap terhadap inisiatif NGO-NGO masyarakat India dan individu yang telah menyeru supaya Kerajaan Negeri Selangor memberi cuti tambahan sempena sambutan Hari Deepavali 2017.

“Perkara ini wajar dibawa ke perhatian Sultan Selangor (Sharafuddin Idris Shah) untuk mendapat perkenan daripadanya.

“Saya dengan penuh harapan, mengharapkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk memberi perhatian yang khusus mengenai perkara di atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Azmin Ali, akan berada di perkarangan Tengku Kelana, Klang sempena Sambutan Deepavali Negeri Selangor.

“Medan tersebut wajar digunakan oleh Menteri Besar dalam ucapan rasmi beliau untuk mengumumkan cuti khas Deepavali 2017 Negeri Selangor.

“Kerajaan Pusat gagal melaksanakan sekian lama, sebaliknya Kerajaan Negeri Selangor wajar menunjukkan keprihatinan terhadap ratusan ribu masyarakat India yang komited terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” tegas Manivannan lagi.

Difahamkan bahawa sekumpulan NGO -NGO masyarakat India dan individu akan menghantar memorandum kepada Menteri Selangor pada 13 Oktober 2017.

“Saya berharap penyerahan memorandum ini akan berlangsung dengan cara yang terbaik dengan satu harapan yang terbuka,” jelas beliau.

Untuk rekod, Hari Deepavali jatuh pada tarikh 18 Oktober, iaitu hari Rabu. Terdapat permintaan agar 19 Oktober, iaitu hari Khamis dijadikan cuti umum.

Comments

comments