MIC mendakwa Dr Mahathir Mohamad turut membantutkan pembangunan kepada masyarakat India selama yang dipimpinnya

KUALA LUMPUR: MIC hari ini mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘bapa kleptokrasi’ yang pernah mematikan setiap usaha rakyat dalam menyuarakan rasa tidak puas hati.

Dalam satu kenyataan, VS Mogan, Ketua Penerangan MIC mendakwa Dr Mahathir turut membantutkan pembangunan kepada masyarakat India selama yang dipimpinnya.

“Saya percaya rakyat terutamanya yang berada sebelah pembangkang mula memahami bahawa sebarang penglibatan ‘bapa kleptokrasi’ adalah semata-semata untuk kepentingan diri dan anaknya dan bukan untuk orang ramai.”

“Maka mereka akan bijak membuat keputusan agar menolak perhimpunan ini yang tidak memberi sebarang pengertian yang wajar,” kata Mogan ketika mengulas Himpunan Kleptokrasi yang bakal dianjur oleh PH pada 14 Oktober ini.

Menurutnya, Perhimpunan Kleptokrasi adalah sesuatu yang sengaja diadakan dalam usaha menghasut rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN).

Mogan yang turut mengecam sikap pembangkang yang suka menuding pemimpin BN.

“Sebelum mereka menunding orang lain, pembangkang harus menilai sikap tamak kuasa dan peranan fitnah yang dipunyai oleh pemimpin Pakatan Harapan,” sambil mengucap ‘tahniah’ PH sebab protes jalanan ini akan dihadiri oleh ‘Bapa Kleptokrasi’ iaitu Dr Mahathir.

Beliau turut menyeru para belia agar dapat menghadiri Hari Sukan Negara yang dijadualkan pada tarikh yang sama bermatlamat untuk pembangunan belia dan sukan negara.

“Bagi pembangkang, janganlah berlagak seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Sila pandang diri anda sebelum menunding orang lain,” tegas Mogan.

‘Kleptokrasi’ adalah satu istilah yang sering digunakan oleh Mahathir ketika mengecam Perdana Menteri Najib Razak.

Comments

comments