Generasi muda Johor sudah muak melihat retorik dan fitnah jahat pembangkang yang tidak pernah serik dalam menghasut rakyat

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemikir Muda Johor hari ini menggesa Mazlan Aliman supaya berhenti bemain wayang politik.

Katanya, generasi muda Johor sudah muak melihat retorik dan fitnah jahat pembangkang yang tidak pernah serik dalam menghasut rakyat.

Dalam satu kenyataan, Fikri Allaudin, aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor, mendakwa bahawa tindakan pembangkang Johor bermain wayang politik dengan menjadikan institusi pendidikan di negeri Johor sebagai sasaran tidak ubah seperti sekadar mencari modal politik sahaja.

“Mereka cuba memberi gambaran bahawa beberapa sekolah di negeri Johor tidak mendapat perhatian sedangkan pada hakikatnya kerajaan negeri Johor melalui Ayub Rahmat selaku exco bagi portfolio pendidikan negeri sentiasa memastikan keseluruhan institut pendidikan di Johor dalam keadaan terbaik,” kata Fikri ketika mengulas tindakan Mazlan yang merupakan anggota Parti Amanah Negara (Amanah) mengedarkan satu kotak kertas A4 ke beberapa buah sekolah.

“Mereka menggembargemburkan menjadi sensasi bagaikan telah menyumbang sehingga 10 lori kertas A4 sedangkan pada hakikatnya hanyalah satu kotak sahaja,” jelasnya.

“Bagi Persatuan Pemikir Muda Johor, tindakan pembangkang ini sengaja mahu menarik perhatian rakyat selepas mereka rasa tidak senang melihat sambutan hangat daripada rakyat Johor terhadap Ekspo Johor Berkemajuan 2017,” tegas beliau lagi.

Fikri turut membidas tindakan Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), sebagai satu tohmahan jahat yang dibuat terhadap negeri ini, sedangkan pada fakta dan realitinya negeri ini telah diurus dengan baik dan progresif.

“Selain itu, pada hakikatnya terdapat juga wakil rakyat kerajaan, PIBG, NGO yang menyumbang kepada sekolah secara peribadi, tetapi tidak pula digembar-gemburkan sebagaimana pembangkang yang mencanang satu kotak seperti satu lori A4.”

“Adakah modal terbaik bagi pembangkang pada ketika ini hanya sekadar kertas A4 sahaja?” soal Fikri sambil menasihat Mazlan supaya berhenti bermain wayang politik.

Comments

comments