Perlantikan tiga menteri dari kalangan Ahli Parlimen berbangsa India sangat penting bagi menstabilkan pembangunan kaum India di Malaysia

KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira-NewGen) hari ini meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya melantik tiga menteri dari kalangan Ahli Parlimen berbangsa India dalam kabinet persekutuan.

Menurut Presiden Mira-NewGen A Rajaretinam, pelantikan sekurang-kurangnya tiga menteri dari kalangan Ahli Parlimen berbangsa India sangat penting bagi menstabilkan pembangunan kaum India di Malaysia yang jauh di belakang berbanding kaum Melayu dan Cina.

“Saya tidak bersifat rasis. Tetapi, adalah penting untuk kerajaan Pakatan untuk memberi tumpuan khas terhadap pembangunan kaum India di Malaysia yang dipinggirkan pada era BN.”

“Cadangan saya untuk melantik tiga menteri dari kalangan India hanya untuk penggal ini sahaja. Saya percaya lima tahun yang akan datang sudah mencukupi bagi Pakatan memperkasakan kaum India sekurang-kurangnya ke tahap minimum,” kata beliau.

Tambahnya lagi, Pakatan boleh menstruktur semula atau mengurangkan pelantikan kabinet menteri dari kalangan India pada masa akan datang mengikut kecemerlangan pemimpin.

“Buat masa ini, kita (Pakatan) mempunyai beberapa pemimpin India berwibawa yang mampu menerajui jawatan menteri,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahathir mengesahkan kabinet baharu Pakatan akan mempunyai kurang daripada 30 menteri termasuk anggota dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Mahathir, 10 menteri untuk kementerian utama akan dinamakan dahulu.

Buat waktu ini, Mahathir menamakan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Namun, belum ada sesiapa yang mengangkat sumpah sebagai menteri termasuk Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mira-NewGen yang juga merupakan rakan strategi Pakatan menggesa kerajaan pusat agar mewujudkan satu unit khas untuk menjaga kebajikan masyarakat minoriti negara ini.

Rajaretinam turut mengesahkan bahawa partinya sudahpun berbincang dengan Mahathir berkenaan cadangan kewujudan unit khas rakyat minoriti.

“Kita berbincang dengan Tun (Mahathir) sebelum PRU dan beliau menyambut baik cadangan itu. Kami percaya unit khas minoriti ini yang dinamakan  sebagai Agenda Pembangunan Minoriti 2040 (Minda 2040) akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, Minda 2040 merupakan satu program sosioekonomi lebih kurang sama seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Abdul Razak untuk memperkasakan ekonomi Melayu.

“Minda 2040 akan memberi tumpuan khusus kepada kaum-kaum minoriti di Malaysia bagi 20 tahun akan datang,” katanya lagi.

“Kami juga mahu kerajaan Pakatan meluluskan program sosioekonomi ini di parlimen agar ia akan dikekalkan walaupun berlakunya pertukaran kerajaan,” tegasnya.

Comments

comments