Ahli-ahli kumpulan yang masih setia jangan terasa hati. Yang kata perompak dan pencuri ialah bekas Timbalan Chief kamu semua

Dr Azman Ibrahim

“ITU Hadi pakai kopiah, tapi sokong Najib. Kalau PAS parti Islam, kenapa dia sokong itu perompak dan pencuri? Kalau PAS bertanding jangan sokong PAS, Umno bertanding jangan sokong Umno. Mari kita sokong Pakatan Harapan!” – Muhyiddin Yassin.

Berpuluh tahun dia jadi ahli kumpulan perompak dan pencuri. Dapat jawatan dan harta hasil dari bekerja bersama kumpulan perompak dan pencuri. Sehingga dia dilantik menjadi Timbalan Chief kumpulan perompak dan pencuri.

Ada kediaman rasmi, ada kenderaan rasmi, boleh guna pesawat kerajaan, keselamatan dikawal rapi oleh UTK (Unit Tindakan Khas), lalu atas jalan raya dengan iringan polis, datang ke majlis disambut dengan hamparan permaidani, disediakan tempat terhormat atas pentas dan pelbagai lagi keistimewaan yang semuanya dia perolehi sepanjang menganggotai kumpulan perompak dan pencuri.

Sepanjang tempoh itu juga PAS lawan kumpulan perompak dan pencuri ini dengan penuh istiqamah dan pengorbanan. Malah ada ketikanya sampai hilang wang deposit.

Maklumlah bekas Timbalan Chief ini berasal dari sebuah negeri tempat lahir “parti kumpulan perompak dan pencuri” ini. Kuatnya usah dikira lagi. Tapi PAS tak pernah hirau dan gerun dengan kekuatan itu.

Lawan dan terus lawan. Sehinggalah akhirnya kubu kuat kumpulan “parti perompak dan pancuri” telah ditembusi. Mereka bukan lagi kebal walaupun pakai aneka tangkal dan segala azimat.

Biasa saja dalam sebuah kumpulan perompak dan pencuri. Masa harta rompakan banyak, mereka ok saja. Boleh agih sesama mereka. Apabila harta dah semakin berkurangan dan anggota kumpulan pula makin ramai yang berebut untuk mendapatkannya, maka yang lemah akan tersingkir.

Kesian Timbalan Chief yang akhirnya tersingkir. Tiada daya dan upaya nak melawan Chief yang lebih perkasa. Lalu pergilah dia dengan hina dan hilang segalanya walau saya yakin harta simpanan dia sepanjang bersama kumpulannya dulu dah tak habis untuk dimakan bersama anak cucu.

Kalau tak dipecat maka sehingga kini tentunya dia masih lagi Timbalan Chief.

Sekarang Timbalan Chief ini berlagak suci. Bagaikan dialah juara penentang kumpulan perompak dan pencuri itu. PAS yang berjuang berpuluh tahun lawan bekas kumpulannya dulu akhirnya dipalitkan dengan kotoran demi untuk mensucikan dirinya sendiri. Alangkah sucinya diri dia.

Ahli-ahli kumpulan yang masih setia jangan terasa hati. Yang kata perompak dan pencuri ialah bekas Timbalan Chief kamu semua. Bukan saya.

Dr Azman Ibrahim merupakan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS

Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat  Berita Daily

Comments

comments