Dunia sedar betapa pahitnya konflik perkauman yang kini sekali lagi menampakkan kebejatannya, terutama ketika berjuta-juta rakyat Syria terpaksa menjadi pelarian dan mencari perlindungan di tempat lain

Oleh Harun Yahya

PERKAUMAN sepatutnya sudah tidak wujud di Eropah. Eropah dan dunia Barat juga seharusnya telah belajar daripada pengalaman yang dahsyat itu. Mengikut naratif rasmi di dunia Barat, persoalan mengenai penerimaan perkauman tidak sepatutnya timbul.

Mereka adalah pembela utama hak asasi manusia dan mereka tidak akan bertolak ansur dalam soal perkauman. Namun, hakikatnya bercanggah, dan persamaan antara amalan perkauman masa kini dan ketika nenek moyang mereka dulu amatlah menakutkan.

Dunia sedar betapa pahitnya konflik perkauman yang kini sekali lagi menampakkan kebejatannya, terutama ketika berjuta-juta rakyat Syria terpaksa menjadi pelarian dan mencari perlindungan di tempat lain. Eropah yang selalu bermegah kononnya akan menerima sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina, kepercayaan mahupun etniknya.

Jadi, apabila kumpulan baharu pelarian ini berpaling ke Eropah untuk mendapatkan bantuan dan ditolak sewenang-wenangnya, mereka faham bahawa hakikat sebenar adalah jauh berbeza daripada imej yang ditampilkan.

Kita telah berulang kali menulis mengenai pengalaman kumpulan pelarian dan peningkatan aliran xenophobia. Bagaimanapun, terdapat aspek lain dan yang jarang dibincangkan berkaitan permasalahan itu.

Begitu juga keadaannya atlet-atlet bukan berkulit putih atau yang beragama Islam terpaksa hadapi iaitu pelbagai tekanan perkauman yang berpanjangan.

Kedengarannya bagai sukar dipercayai, namun adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak bukan berkulit putih diganggu dalam sesuatu permainan, atau pemain Islam diserang dengan pelbagai penghinaan berbentuk perkauman.

Di UK, penyerang sayap Newcastle, Yasin Ben El-Mhanni berkata bahawa penganiayaan Islamofobik telah menjadi perkara biasa bagi beliau dan rakan-rakannya. Beliau berkata, “Ketika saya bermain di peringkat bawahan, saya dan rakan-rakan sering dilemparkan dengan komen yang memomokkan kami sebagai “pengebom berani mati” dan “pengganas” dan seumpamanya.

Ia agak meluas dan mengganggu. Momokan itu memang mengganggu fikiran sama ada ketika di padang mahupun di luar padang. Kadang-kadang apabila diganggu ketika di padang, ia akan terus dirasai pada hari-hari berikutnya, malah berminggu-minggu. Ia adalah pengalaman yang amat sukar dilalui.”

Di Perancis, pemain bola sepak yang berasal dari Algeria, Samir Nasri menghadapi masalah yang sama dan beliau menceritakan mengenai kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Perancis; “Orang Perancis menentang Islam. Keadaan tidak seperti ini 10 hingga 15 tahun lepas, Saya tidak suka mentaliti masyarakat Perancis sekarang.”

Penyerang pasukan bola sepak Barcelona, Samuel Eto yang berasal dari Cameroon pula mengakui sering dihina oleh peminat apabila turun ke padang. Sedangkan nama-nama terkenal di dunia sekalipun tidak dapat menghindari kekejaman perkauman, dan antara yang jelas adalah ketika Roberto Carlos diperlekeh semasa perlawanan di Rusia, menyebabkan beliau keluar meninggalkan padang kerana terlalu kecewa.

Satu lagi episod yang amat mengganggu berlaku di Amerika Syarikat, ketika City Chiefs safety Husain Abdullah tunduk sujud di padang setelah menjaringkan satu mata.

Kemudian beliau dihukum berikutan tindakannya itu, sedangkan ramai rakan Kristiannya telah melakukan perkara seumpama itu tetapi tidak pernah dikenakan sebarang hukuman.

Ini hanyalah beberapa contoh dan nyata sekali bahawa tindakan-tindakan buruk itu menggambarkan betapa masalah yang berakar umbi itu berjaya meresap menerusi halangan anti-perkauman yang dangkal dan tindakan mengaibkan sejak beberapa dekad berlalu.

Lebih-lebih lagi, retorik perkauman mula mengembalikan peristiwa masa lampau. Sebagai contoh, kita telah mendengar mengenai kalangan mereka yang mendakwa bahawa kehadiran pelarian adalah ancaman kepada wanita berkulit putih atau bahawa golongan pendatang baharu yang dikatakan secara diam-diam cuba mengambil alih negara mereka.

Menariknya, seseorang lain menyatakan sesuatu yang serupa beberapa dekad lepas (rakyat Afrika tidak akan membuat kenyataan memalukan seumpama itu):

“Orang pendatang ini sangat berbahaya,” gabungan perisytiharan German National Assembly memberi amaran pada 1920, kepada “wanita Jerman.” Menulis dalam ‘Mein Kampf’ pada 1920an, Adolf Hitler menjelaskan bahawa askar Afrika di tanah Jerman sebagai konspirasi Yahudi yang berhasrat menjatuhkan orang kulit putih daripada “kedudukan budaya dan politik”.

Sudah tentu, tidak ada orang waras yang akan bersetuju dengan idea-idea pelik golongan Nazi hari ini, tetapi nampaknya seakan-akan idea jahat seumpama itu telah menemui jalan untuk kembali. Adakah kelebihan berkulit putih akan sekali lagi berubah menjadi pseudo-agama, seperti dinyatakan aktivis politik Amerika Du Bois pada 1900-an?

Dunia barat mendakwa bahawa ia telah melepasi dosa-dosa dan kesilapan-kesilapan lepas. Ia kini mendakwa bahawa ia adalah pusat modenisme, kebebasan dan segala yang diinginkan. Tetapi adakah itu benar?

Insiden itu menunjukkan bahawa dalam setiap era sejarah, akan terdapat golongan yang moralnya diragui dan keputusannya dipersoalkan.

Bagaimanapun, generasi hari ini mempunyai kelebihan. Kita telah melihat apa yang berlaku pada kali terakhir dunia menyerah kepada kegilaan perkauman.

Kita juga telah menyaksikan bagaimana gelombang kegilaan itu telah menelan berjuta-juta orang, tidak kira betapa warasnya mereka sebelum itu. Kita juga tahu apa yang akhirnya berlaku dan bagaimana perkauman, xenofobia dan bentuk-bentuk prejudis yang terang-terangan serta ketaksuban telah menyebabkan jenayah yang paling mengerikan dan tidak pernah terfikirkan oleh akal.

Oleh itu, dengan segala pengetahuan itu, tidak ada alasan untuk kita membenarkan diri ditelan oleh gelombang kebencian yang sama dan membenarkan sejarah memalukan itu berulang.

Kali ini ia akan menjadi kesilapan yang disengajakan.

Harun Yahya, adalah pemimpin spiritual Turki

Comments

comments