PBS menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai kesempatan yang sempurna untuk rakyat Sabah, terutama “tulun tokou” (masyarakat KDM) untuk memberi “hadiah perpisahan” yang sesuai kepada Pairin dalam bentuk kemenangan gemilang untuk BN

Oleh Newmond Tibin

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan, yang menyambut hari lahirnya yang ke-77 baru-baru ini, kekal sebagai seorang tokoh yang disegani dalam politik di negeri Sabah.

Dikenali sebagai “giant killer” selepas mengalahkan parti Berjaya yang memerintah pada 1985, pemimpin veteran berkarisma itu berkemungkinan memainkan peranan yang penting untuk mengubah keburukan parti selepas kalah enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Ketika negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya sebelum pertengahan tahun depan, Pairin dijadual menyampaikan ucapan penuh inspirasi dan yang tidak dapat dilupakan pada kongres parti hujung minggu.

Ini sebagai pembuka tirai untuk menghidupkan kembali semangat juang 1985, bagi mencapai kemenangan yang meyakinkan pada pilihan raya akan datang.

Malah sebelum ini, Pairin, telah menaikkan sasaran mengenai matlamat yang diinginkan parti itu dan menggesa anggota parti untuk tetap teguh, tegas dan bersatu mendahului pilihan raya yang penting itu. Ini menunjukkan bahawa pengasas PBS itu bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi kempen untuk semua calon PBS atau Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2013, PBS menmenangi kerusi Dewan Negeri yang diperuntukkan iaitu Tambunan, Melalap, Kiulu, Kundasang, Labuk, Tanjung Aru, Tandek dan kerusi Parlimen Batu Sapi, Tawau, Keningau dan Kota Marudu; namun kalah kepada pembangkang di kawasan DUN Tamparuli, Matunggong, Kadamaian, Api-Api, Inanam dan Sri Tanjung dan juga kawasan Parlimen Kota Kinabalu.

Walaupun menghadapi rintangan, PBS, anggota gabungan BN, sejak kebelakangan ini mendapat sokongan yang cukup baik di kalangan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), dan bertekad untuk  menemukan semula sentuhan kemenangannya bagi merampas kembali kerusi yang tewas di tangan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ramai berpendapat prestasi “di bawah par” ini sebagai satu isyarat untuk menyedarkan PBS, parti tempatan tertua di negeri ini, untuk memperbaiki kesilapan pada pilihan raya lalu dan kembali semula lebih kuat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Dr Lee Kuok Tiung  berpendapat  karisma Pairin masih diperlukan untuk menerajui PBS dalam pilihan raya akan datang walaupun beliau telah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden parti.

“Bagi saya, tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Pairin sebagai pemimpin paling penting (Huguan Siou), sekurang-kurangnya buat masa ini. Dia (Pairin) adalah juara rakyat dan pasti dalam PRU14, beliau akan memainkan peranan penting untuk PBS dan BN.

“Rekod perkhidmatannya sebagai bukti, Pairin adalah seorang yang konsisten dengan agenda parti dalam memperjuangkan hak rakyat di Sabah, terutamanya berhubung isu pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama.

Lee berkata semua kesulitan yang telah dilalui atau dialami PBS pada masa lalu hanya menjadikan PBS lebih kuat.

“PBS mempunyai penyokong tegar, dan ia sentiasa dapat pulih dan menghadapi semua cabaran. Sebagai contoh, rusuhan di Sabah selepas PBS menggulingkan Berjaya pada tahun 1985, yang membuahkan hasil yang lebih baik dalam pilihan raya 1986, dan kejatuhan kerajaan negeri PBS pada 1994 adalah disebabkan pimpinan parti hanya ingin melihat PBS muncul lebih kukuh dalam kerusi yang mempunyai majoriti KDM pada pilihan raya 1999,” katanya.

Lee juga melihat Pairin sebagai seorang ahli politik yang bijak dengan membawa PBS kembali kepada BN pada tahun 2001 selepas parti itu meninggalkan parti memerintah dalam keadaan yang sengit pada 1990, dan juga berpandangan jauh dengan memikirkan tentang kepentingan rakyat sebelum secara rasmi melepaskan jawatan presiden atau bersara daripada politik.

Awal tahun ini, Pairin menyerahkan tampuk pimpinan parti kepada timbalannya selama 23 tahun, Dr Maximus Ongkili, dan menjadikan Ongkili sebagai pemangku presiden berkuat kuasa serta merta.

Lee berkata penyerahan baton kepada Ongkili adalah tepat pada masanya dan sesuai bagi  memastikan  peralihan kuasa berjalan lancar serta bagi meremajakan parti.

“Ongkili seorang yang begitu setia dan komited terhadap perjuangan parti, terutama ketika majoriti wakil rakyat PBS ketika itu meninggalkan parti itu selepas pilihan raya negeri pada 1994.

Saya percaya dengan pengalaman luasnya sebagai menteri di peringkat persekutuan, Ongkili yang merupakan tunggak dan pemimpin yang telah diuji, akan membawa PBS ke tahap yang lebih tinggi, beliau adalah permata baharu dalam PBS untuk meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Pada pilihan raya lalu, Pairin membariskan beberapa muka baharu, termasuk bekas Presiden Persatuan Wartawan Sabah Joniston Bangkuai, yang memenangi kerusi DUN Kiulu.
Pilihan raya umum akan datang dilihat sebagai ujian litmus untuk populariti dan kepimpinan Ongkili, sekiranya Pairin memutuskan tidak mempertahankan kerusi DUN Tambunan dan kerusi Parlimen Keningau.

“Namun, dalam politik, apa pun boleh berlaku..politik adalah permainan kemungkinan, dan saya tidak akan terkejut jika Pairin akan bertanding lagi,”  kata Lee.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS Jahid Jahim berkata sebagai parti berbilang kaum dan mesra Gen Y, dan Pairin, yang digambarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai “patriot Malaysia sejati” semasa merasmikan kongres PBS dua tahun lalu, juga mempunyai keupayaan untuk mengangkat semangat pengundi Kadazandusun Murut, tetapi juga semua kaum lain untuk menyokong BN dalam pilihan raya akan datang.

“Rekod “PBS” yang secara konsisten berjuang dan menyuarakan hak Sabah, di dalam atau di luar BN sejak diwujudkan 32 tahun lalu, adalah hakikat bahawa rakyat Sabah dari semua kaum boleh percaya dan bergantung dengannya.

PBS, sebagai sebuah parti yang telah diuji dan berpengalaman, Pairin dalam jua kapasitinya, masih mempunyai potensi terbesar untuk memastikan BN meningkatkan prestasinya termasuk mendapatkan semula kawasan yang tewas dengan begitu meyakinkan,” katanya sambil menambah pengundi tidak sepatutnya “mempertaruhkan undi mereka dengan memilih pembangkang.

Jahid berkata Pairin boleh mencapai lebih banyak lagi untuk rakyat Sabah jika perdana menteri pada masanya adalah perdana menteri (Najib) pada masa ini, “yang kita lihat sebagai seorang yang lebih memahami dan menghargai hak-hak kita mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”.

“Ini telah terbukti dari segi keselamatan – pembentukan ESSCom/ESSZone, kemajuan tertentu yang dibuat kepada cadangan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) peningkatan penyertaan Sabah di peringkat Kabinet, penyertaan perkhidmatan awam, dan pembangunan infrastruktur dan ekonomi berbanding era Dr Mahathir (Mohamad) dengan pendekatan meminggirkan (Sabah) dan berkonfrontasi,” katanya.

Banyak penyokong kuat PBS menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai kesempatan yang sempurna untuk rakyat Sabah, terutama “tulun tokou” (masyarakat KDM) untuk memberi “hadiah perpisahan” yang sesuai kepada Pairin dalam bentuk kemenangan gemilang untuk BN, sambil menyatakan dengan berbuat demikian ia akan begitu sesuai kerana merangkumi empat dekad kehidupan politik Pairin yang turun naik dan penuh dramatik.

Comments

comments