BERITA DAILY LETTER: Dari Dr Siti Mariah Mahmud, via e-mail

Polisi syarikat yang melarang pekerja wanita bertudung bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan perlu segera ditangani dan dihentikan serta merta.

Selain secara jelas wujudnya diskriminasi terhadap penganut agama Islam, saya melihat ini juga sebagai satu bentuk langkah jumud sesetengah syarikat yang sepatutnya memanfaatkan tenaga dan kemahiran pekerja dengan lebih adil serta bertoleransi.

Saya sebenarnya terkejut masih ada peraturan yang mundur dan retrogresif ini. SOP mana-mana majikan tidak boleh melangkaui adat dan amalan sesebuah negara yang sudah termaklum dan di terima masyarakat.

Sebelum ini banyak laporan mengenai diskriminasi di tempat kerja dilaporkan tetapi sehingga sekarang nampaknya masih belum berakhir. Saya percaya bukan industri perhotelan sahaja yang melakukan diskriminasi ini.

Siasatan perlu dibuat secara menyeluruh di setiap sektor kerja dan para pekerja juga dinasihatkan membantu dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Tindakan tegas dan berat perlu dikenakan terhadap syarikat yang melakukan diskriminasi ini sebagai pengajaran kepada syarikat yang lain.

Justeru saya menggesa kerajaan dan tiga kementerian penting seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Sumber Manusia menjadikan tahun 2017 ini sebagai tahun penamat kepada diskriminasi ini.

Hal ini kerana, jika diskriminasi begini gagal ditangani secara menyeluruh, harapan tahun 2018 sebagai tahun memperkasa wanita akan menjadi harapan palsu sahaja.

Dr Siti Mariah Mahmud adalah ahli parlimen Amanah Kota Raja dan Ketua Angkatan Wanita Amanah

Comments

comments