Pemuda MIC berharap Kementerian Pendidikan segera mengambil tindakan terhadap pihak pentadbiran sekolah itu

KUALA LUMPUR: Seorang anggota MIC berasa kecewa selepas guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Puteri di Hulu Langat mempertahankan tindakan mengamalkan polisi cawan asing bagi murid berlainan agama di kantin sekolah tersebut.

Menurut Ganesan Seerangam, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MIC, beliau berasa terkejut dan sedih selepas guru besar sekolah tersebut mempertahakan tindakannya walaupun dikritik oleh pelbagai pihak termasuk mufti Perak Harussani Zakaria.

“Saya melawat sekolah tersebut pagi ini. Pada mulanya beliau enggan berjumpa dengan saya walaupun, saya memaklumkan kehadiran saya melalui telefon.

“Selepas, menjelaskan kepentingan perjumpaan, akhirnya beliau berjumpa di pejabatnya. Tetapi, tidak memberi kebenaran untuk melawat kantin,” kata Ganesan kepada Berita Daily.

Tambah Ganesan, guru besar itu mengakui kepadanya bahawa sekolah tersebut mengamalkan polisi cawan asing bagi murid Muslim dan bukan Muslim sejak setahun yang lalu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila beliau mempertahankan tindakannya demi menjaga ‘kesihatan’ murid.”

“Menurut guru besar itu, terdapat beberapa murid membawa makanan tidak halal ke sekolah, mendorong beliau menyediakan cawan asing bagi murid Muslim dan bukan Muslim,” kata Ganesan sambil menambah beliau tidak selesa dengan alasan ini.

“Kalau betul, ada murid membawa makanan tidak halal, sekolah sepatutnya memberitahu kepada ibu bapanya. Bukan menyediakan cawan asing yang jelas merupakan satu tindakan rasis,” tegasnya.

Untuk rekod, sekolah itu mempunyai 214 pelajar Melayu, 164 India dan lima murid berbangsa Cina.

Ganesan juga memberitahu bahawa guru besar itu juga tidak memberi respons yang baik ketika bertanya apakah kuasa beliau bagi membuat keputusan menyediakan cawan asing tanpa merujuk kepada Kementerian Pendidikan.

“Saya harap Kementerian Pendidikan segera mengambil tindakan terhadap pihak pentadbiran sekolah ini,” ujarnya lagi.

Tindakan sekolah itu menggunakan cawan asing bagi murid berlainan agama mengundang kemarahan di seluruh negara temasuk NGO G25 dan ahli-ahli politik.

Comments

comments